MyMetroArena
PENYERANG Kedah, Zaquan Adha Radzak mengetepikan sementara ikatan adik beradik dengan pasangan kembarnya, Aidil Zafuan Radzak yang mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.
Bekas pemain kebangsaan itu yang pernah menjulang Piala Malaysia dua kali bersama Aidil pada 2009 dan 2011 sewaktu beraksi dengan Negeri Sembilan, menegaskan fokus utamanya adalah membantu Kedah menjulang piala itu buat kali keenam walaupun sedar abangnya Aidil turut memasang impian sama.
Kedah muncul juara Piala Malaysia sebanyak lima kali iaitu pada 1990, 1993, 2007, 2008 dan 2016, manakala JDT meraih kejuaraan sulung pada 2017 selepas menewaskan Kedah 2-0 pada aksi final di Stadium Shah Alam.
“Sentimen adik beradik itu kami perlu tolak ke tepi dahulu apabila berada di tengah padang, cuma kami berdua akan buat yang terbaik untuk pasukan masing-masing, dan doa emak itu penting. Menang kalah adat pertandingan.
“Final kali ini memang berbeza kerana saya beraksi menentang pasukan abang saya dan perlawanan akhir ini tidak akan sama dengan perlawanan lain sama ada di peringkat kumpulan dan sebagainya kerana setiap pemain ingin beraksi di final,” katanya ketika ditemui pemberita di Petaling Jaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Zaquan mengakui dia dan Aidil sudah memahami permainan masing-masing kerana pernah beraksi bersama sejak mewakili negeri kelahiran mereka, Negeri Sembilan dari 2006 hingga 2011, namun dia percaya perancangan taktikal terbaik pasukan masing-masing menjadi penentu pemenang perlawanan malam esok.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 9:41 PM
No comments:
Post a Comment