SUKAN»Bola
Isnin, 11 November 2019 | 2:19pm
PEMAIN Malaysia, Muhammad Safawi Rasid. - Foto BERNAMA
Semangat Safawi membara berdepan Thailand
KUALA LUMPUR: Kemenangan 1-0 ke atas Tajikistan, kelmarin bukan saja memberi petanda positif buat skuad kebangsaan, malah ia mungkin menjadi amaran awal buat Thailand bahawa Safawi Rasid sudah kembali menemui sentuhan gol bersama skuad Harimau Malaya.
Pasukan kebangsaan akan berdepan Thailand dan Indonesia dalam kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Khamis dan 19 November ini.
Safawi yang juga penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) mengakui gembira selepas jaringan tunggalnya pada minit ke-72 berjaya memberi kemenangan bermakna skuad Harimau Malaya ke atas Tajikistan.
Walaupun hanya aksi persahabatan, namun pemain berusia 22 tahun itu menjelaskan ia menjadi motivasi terbaik sebelum berdepan skaud Gajah Perang yang kini mendahului saingan Kumpulan G.
“Sudah beberapa perlawanan saya tidak menyumbang jaringan bersama skuad kebangsaan.
“Tapi hari ini saya berjaya meledak gol. Terima kasih kepada rakan sepasukan dan seluruh penyokong.
“Ia bagus untuk saya mendapatkan lebih keyakinan menentang Thailand dan Indonesia nanti,” katanya ketika ditemui selepas aksi berdepan Tajikistan.
Safawi yang menjadi tonggak penting pasukan kebangsaan tidak meledak gol dalam lapan perlawanan dan kali terakhir dia menyumbang jaringan ketika berdepan Timor Leste dalam aksi kelayakan pusingan pertama, 7Jun lalu.
Selain itu, Safawi mengakui jentera serangan Harimau Malaya masih perlu memperbaiki ketajaman penyudah jika mahu mendapatkan keputusan terbaik berdepan Thailand dan Indonesia.
“Pada perlawanan sebelum ini kita banyak mencipta peluang, cuma tidak dapat menjaringkan gol.
“Jadi kita kena perbaiki dari aspek meledak jaringan, itu yang penting.
“Kita mempuyai pemain sayap kiri dan kanan serta pertahanan kiri dan kanan yang sentiasa buat membuat larian ke atas.
“Jadi itu kelebihan kita untuk jaringkan gol,” katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 11 November 2019 | 2:19pm
No comments:
Post a Comment