SUKAN»Bola
Selasa, 5 November 2019 | 12:02pm
Safawi tidak pernah rasa puas dengan prestasi semasanya dan menjadikan benua Eropah sebagai destinasi pilihan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Penyerang negara, Safawi Rasid menegaskan dia tidak pernah rasa puas dengan prestasi semasanya dan menjadikan benua Eropah sebagai destinasi pilihan jika berpeluang beraksi di luar negara.
Bagi seorang pemain profesional, Safawi berkata impian beraksi di luar negara pasti ada dan sedia berkelana ke 'tempat orang' jika ada menerima sebarang tawaran.
Walaupun memasang impian besar, Safawi bertegas tidak akan membelakangi Johor Darul Ta'zim (JDT) yang banyak membantu pengingkatan prestasinya.
"Memanglah dalam hidup ini, mungkin ini (tawaran) hanya datang sekali seumur hidup. Cita-cita saya memang mahu beraksi di luar negara dan kalau boleh, saya mahu beraksi di Eropah.
"Mana-mana kelab pun saya OK, asalkan ia sesuai dan mampu buka peluang lebih baik kepada saya dapat lebih banyak pengalaman. Apa pun, sebarang tawaran perlulah melalui JDT sebagai majikan saya," katanya ketika dihubungi.
BH Sukan semalam melaporkan bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh menyifatkan Liga Malaysia (Liga M) bukan lagi tempat yang sesuai buat Safawi.
Justeru, Serbegeth yang lebih dikenali sebagai Shebby mencadangkan pemain berusia 22 tahun itu berhijrah ke liga luar negara bagi memastikan prestasinya terus meningkat ke tahap lebih tinggi.
Mengulas lanjut pujian dan pendapat dibuat Shebby itu, Safawi akui yang dia seakan kelu untuk berkata-kata untuk menzahirkan keterujaannya.
"Saya ada baca dan saya pun tidak tahu macam mana mahu cakap. Apa yang boleh beritahu adalah ucapan terima kasih.
"Setiap kali diturunkan, saya tidak rasa begitu (tahap prestasi lebih baik berbanding bola sepak Malaysia) kerana setiap kali diturunkan, saya hanya fikir untuk fokus dan berikan sehabis baik selagi kudrat saya mampu.
"Saya mahu terus tingkatkan lagi prestasi untuk cuba tampil lebih baik. Saya cuba berikan apa yang termampu dan selebihnya, biarlah orang yang menilai," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 5 November 2019 | 12:02pm
No comments:
Post a Comment