Ad

Saturday, 9 November 2019

Skuad paling mantap!


MyMetroArena
 
Oleh Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
JENERAL Harimau Malaya, Nor Azam Azih menganggap pemain yang dibawa jurulatih, Tan Cheng Hoe pada kem latihan pusat kali ini adalah yang terbaik pernah dimiliki pasukan.

Pemain Pahang berusia 24 tahun itu berkata, dengan himpunan pemain tengah tersohor dari pelbagai pasukan, dia yakin skuad negara mampu memberi cabaran apabila berdepan Tajikistan dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Malah, ia juga sebagai persediaan sempurna sebelum barisan skuad kendalian Tan Cheng Hoe meneruskan misi wajib menang ke atas Thailand dan Indonesia pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di venue sama, Khamis depan dan 19 November nanti.

“Saya rasa sekarang bahagian tengah sangat baik sebab ada pemain baharu dan lama seperti Baddrol Bakhtiar, Brendan Gan dan Afiq Fazail.

“Saya rasa kelompok pemain kali ini adalah pilihan terbaik. Saya harap permainan akan lebih meningkat terutama apabila kita lawan Thailand nanti,” katanya pada sidang media praperlawanan, semalam.

Azam yang disisihkan ketika skuad negara tewas 0-1 di tangan Vietnam di Hanoi ekoran kecederaan buku lali, kembali disenaraikan Cheng Hoe.

Ketiadaannya ketika tumbang kepada skuad Naga Emas amat dirasai apabila bahagian tengah negara gagal berfungsi dengan baik sekali gus dikuasai sepenuhnya pemain Vietnam.

Sudah tentu sentuhannya kembali ditagih seperti mana aksi cemerlang yang ditonjolkan pemain kelahiran Maran, Pahang itu apabila membantu pasukan mengejutkan Indonesia 3-2 pada aksi pertama di Stadium Gelora Bung Karno selain hampir mengejutkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum tewas 1-2.

“Saya harap perlawanan malam esok (malam ini), kita menang selain menambah keserasian pasukan supaya tampil lebih bersedia untuk kelayakan Piala Dunia,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 6:00 AM


No comments:

Post a Comment