Meor Riduwan
Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my
ISU bendera
Malaysia berbucu lima terpampang ketika pembukaan kejohanan bola keranjang,
Piala Lum Mun Chak Maba/Milo kali ke-28 kelmarin tidak seharusnya berlaku
kerana ia menunjukkan sikap tidak profesional pihak terbabit.
Timbalan
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi
berkata, persatuan sukan kebangsaan mahupun negeri perlu berhati-hati bagi
mengelak kesilapan sedemikian.
“Semua
persatuan sukan kebangsaan dan negeri, takkan kita nak ajar pasal bendera
Malaysia. Mereka tidak periksakah? Tiada raptaikah sebelum kejohanan?
“Salahkan
kontraktor...memanglah ia paling mudah. Tapi sebagai persatuan sukan yang sudah
lama wujud dan menganjurkan pelbagai kejohanan kebangsaan atau antarabangsa
kita sentiasa membawa bendera Malaysia. Tidakkah mereka tidak peka mengenai
bendera Malaysia?
“Bagi saya ini
tidak baik dan tidak harus berlaku. Apa yang berlaku menunjukkan sikap sambil
lewa dan tidak profesional,” katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.
Sejak malam
kelmarin tular klip video berdurasi satu minit 42 saat memaparkan bendera
Malaysia dengan bintang berbucu lima dipamerkan pada skrin stadium Persatuan
Bola Keranjang Malaysia (MABA) ketika nyanyian lagu Negaraku.
Abdul Azim
berkata, secara peribadi beliau marah dengan isu itu termasuk pemain bola
keranjang memakai jersi mengandungi bendera Perak terbalik di kejohanan sama.
“Sebagai atlet
kita sentiasa membawa bendera Malaysia atau negeri, mustahil mereka tidak peka
mengenainya,” katanya lagi.
Ditanya
mengenai hukuman boleh dikenakan terhadap pihak terbabit, beliau berkata, MOM
lebih kepada pendekatan memberi nasihat dalam hal sedemikian.
“Pihak MABA
juga sudah memohon maaf secara terbuka, jadi kita akan sentiasa mengingatkan
persatuan berkaitan agar peka dan tidak mengulangi kesilapan serupa,” katanya.
SUMBER-Artikel
ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 7:02 PM
No comments:
Post a Comment