Ad

Thursday, 21 November 2019

Safawi sahut cabaran Hamidin

MyMetroArena
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
PEMAIN sayap kebangsaan, Safawi Rasid yang kemarau jaringan sepanjang empat aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 sebelum meledak dua gol untuk skuad Harimau Malaya menewaskan Indonesia 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin, menghadiahkan gol terbabit kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Hamidin sebelum itu melontarkan cabaran kepada pemain berusia 22 tahun itu ketika sesi pertemuan dengan pemain Harimau Malaya di hotel penginapan pasukan, pagi kelmarin.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi ketika mendedahkan rahsia itu berkata, Safawi sebenarnya diberikan ‘amaran’ oleh Hamidin kerana gagal menjaringkan sebarang gol selepas empat perlawanan Kumpulan G ini berlangsung.

“Cabaran itu dilontarkan presiden di hadapan semua pemain ketika beliau hadir bersarapan pagi bersama pemain pada pagi hari perlawanan (kelmarin) dan secara khususnya beliau mahu Safawi menjaringkan gol untuknya.

“Bagi presiden, walaupun Malaysia menang ke atas Indonesia sekali pun, beliau tetap mahu melihat nama Safawi dalam senarai penjaring kerana Safawi masih belum menjaringkan gol dalam pusingan kelayakan ini.

“Jadi pada akhirnya, Safawi menyahut cabaran itu dengan positif apabila berjaya menjaringkan dua gol dan bolehlah dikatakan kemenangan ke atas Indonesia ini dibantu dengan ‘sentuhan khas’ daripada Presiden FAM,” katanya.

Dengan kemenangan ke atas Indonesia itu, Malaysia kini di tangga kedua kumpulan dengan sembilan mata, di belakang pendahulu Vietnam yang gah dengan mengumpul 11 mata.

Manakala, tiga lagi pasukan lain Thailand, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia masing-masing di kedudukan ketiga hingga lima.

Jelas Yusoff yang juga pengurus pasukan, Safawi yang meledak dua gol cantik turut berjaya membuktikan reputasinya sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2019 yang berlangsung baru-baru ini.

“Kami barisan pegawai dan kejurulatihan skuad Harimau Malaya sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada Safawi sepanjang kem latihan pusat kali ini untuk dia terus berada pada prestasi terbaik pada setiap perlawanan.

“Sesuai dengan reputasinya di peringkat domestik sebagai MVP, saya rasa dua gol yang dijaringkannya membuktikan tahap profesional Safawi yang sentiasa berusaha untuk berada pada tahap prestasi yang sama ketika perlawanan peringkat antarabangsa,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 4:45 AM


No comments:

Post a Comment