SUKAN»Bola
Selasa, 26 November 2019 | 1:14pm
PEMAIN Malaysia, Luqman Hakim (kiri) beraksi dalam perlawanan menentang Myanmar pada aksi Sukan SEA 2019 di Stadium Memorial Rizal. - Foto BERNAMA
Luqman harap peluang kedua
Oleh Helmi Talkah
helmi.talkah@bh.com.my
MANILA: Bintang muda, Luqman Hakim Shamsuddin mohon diberi kepercayaan sekali lagi bagi membarisi kesebelasan utama skuad bawah 22 tahun (B-22) negara pada aksi kedua Kumpulan A Sukan SEA 2019 menentang Filipina, Jumaat ini.
Penyerang berusia 17 tahun itu mendapat kepercayaan pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee bagi membarisi kesebelasan utama buat kali pertama ketika seri 1-1 dengan Myanmar semalam tetapi kelibatnya gagal mencetuskan impak yang turut menyaksikan dia dikeluarkan pada babak kedua.
Justeru, pemain yang bakal menyarung jersi kelab Liga Divisyen Satu Belgium, KV Kortrijk itu bertekad mahu menebus aksi hambarnya ketika menentang Myanmar andai diturunkan menentang Filipina.
“Saya belum berpuas hati lagi dengan prestasi saya (ketika menentang Myanmar) kerana masih ada banyak kekurangan. Saya akui bergelut dalam perlawanan pertama,” kata pemain kelahiran Kelantan itu.
“Saya berjanji akan memberi aksi yang lebih baik jika sekali lagi diberi kepercayaan oleh jurulatih untuk berada dalam kesebelasan utama.”
Selain Luqman, Kim Swee turut memberi kepercayaan kepada seorang lagi pemain muda, Umar Hakeem Suhar Rezwan bagi membarisi kesebelasan utama tetapi turut dikeluarkan pada babak kedua perlawanan.
Walaupun gagal mencetuskan impak yang besar, Kim Swee beranggapan kedua-dua pemain muda itu menunjukkan persefahaman yang baik bersama pemain senior dalam pasukan.
“Umar bermain dengan baik manakala Luqman boleh dikatakan masih lagi berada pada tahap memuaskan tetapi belum cukup memuaskan. Dia perlu diberi masa termasuklah Umar.
“Dua pemain ini menunjukkan persefahaman yang baik dan itu lebih penting daripada apa yang saya inginkan. Saya mahu pemain senior dalam pasukan dan pemain muda bergabung bagi membina kombinasi yang baik bagi menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya.[1]
No comments:
Post a Comment