Ad

Saturday, 9 November 2019

Harimau Malaya tundukkan Tajikistan


MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY | | 9 November 2019
 
Pemain Harimau Malaya, Matthew Davies cuba melepasi pemain pertahanan Tajikistan dalam perlawanan persahabatan sebentar tadi. - Foto FAM

HARIMAU Malaya melakar kejutan menewaskan pasukan di ranking ke-116 dunia, Tajikistan 1-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.


Ia sekali gus menjadi tonik berharga buat pasukan negara menjelang dua aksi Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand pada 14 November ini sebelum berdepan Indonesia pada 19 November.

Pada separuh masa pertama, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bertindak menguji beberapa gandingan pemain dan tidak menurunkan Brendan Gan serta Safawi Rasid selain pemain pertahanan, Syahmi Safari ditolak bermain di posisi sayap kanan.


Eksperimen yang dilakukan Cheng Hoe itu menyaksikan skuad negara agak bergelut untuk mengekang permainan pantas Tajikistan selain gagal untuk cuba merencana gerakan yang baik.

Harimau Malaya hampir membuka jaringan menerusi rembatan Syahmi pada minit ke-7, namun percubaannya dihalang pertahanan lawan.

Tajikistan juga mempunyai peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada minit ke-17 melalui Alisher Dzhalilov bagaimanapun ketangkasan penjaga gol, Khairul Azhan Khalid menafikan rembatan pemain tengah itu.

Menyedari persembahan hambar dipamerkan pasukan negara, Cheng Hoe bertindak membawa masuk Brendan Gan dan Safawi pada separuh masa kedua untuk memberikan lebih idea kepada corak persembahan Harimau Malaya.

Tajikistan juga terpaksa bermain dengan 10 pemain sepanjang separuh masa kedua selepas penjaga golnya, Rustam Yatimov dilayangkan kad merah selepas menahan bola dengan tangan di luar kotak penalti.

Safawi tidak menunggu lama untuk memberikan impak selepas dimasukkan apabila sepakan percumanya pada minit ke-62 menggegarkan palang gol lawan.

Harimau Malaya mengambil kesempatan Tajikistan yang bermain dengan 10 pemain apabila menggandakan serangan dan hasilnya Safawi tampil meledak gol pada minit ke-71 selepas bijak memperdayakan pertahanan kiri lawan,Akhtam Nazarof.

Berbaki 10 minit terakhir perlawanan, Tajikistan cuba mencari gol penyamaan namun, Harimau Malaya kebal bertahan sehingga wisel penamat ditiup pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali.


SUMBERArtikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/56480/BERITA/Sukan/Harimau-Malaya-tundukkan-Tajikistan
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

No comments:

Post a Comment