Ad

Saturday, 23 November 2019

Luqman sahut cabaran ganti Safawi

Luqman sahut cabaran ganti Safawi
MyMetroArena
 
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

KETIADAAN tonggak Harimau Malaya, Safawi Rasid dalam senarai pemain Bawah 22 Tahun (B-22) pantas membuka ruang dan peluang buat pemain muda terutamanya Luqman Hakim Shamsuddin untuk menyerlah di Sukan Sea Filipina.

Tanggungjawab berat harus dipikul Luqman yang mengisi posisi ditinggalkan Safawi.

Namun, Luqman tidak melihat perkara terbabit sebagai beban yang harus dipikul walaupun harapan tinggi diletakkan kepadanya untuk merobek gawang lawan.

“Secara jujur, dalam setiap perlawanan sudah pasti ada tekanan, tetapi bukan saya saja yang menjadi tumpuan atau diberikan harapan untuk menjaringkan gol. Pemain lain juga hebat.

“Saya sahut cabaran untuk menggalas tanggungjawab menggantikan Safawi dan ia bagus untuk saya menimba pengalaman demi sesuatu yang baharu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Selain itu, pemain lepasan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu berkata, dia akan membuktikan kepada pengendali B-22, Datuk Ong Kim Swee bahawa pemilihannya untuk ke temasya dwitahunan itu adalah berbaloi.

“Bermain dengan skuad bawah 19 tahun dan B-22 ada bezanya kerana saya perlu bersaing dengan pemain senior dan ia bagus dalam meningkatkan kualiti permainan. Walaupun pada peringkat awal saya terpaksa berusaha keras untuk serasi bersama pemain senior, namun perkara itu dapat diatasi dan sekarang ini sudah boleh bermain sebagai satu pasukan,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 4:30 AM

No comments:

Post a Comment