MyMetroArena
Oleh Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
SKUAD bawah 18 (B-18) tahun negara berada pada landasan tepat untuk layak ke pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan tahun depan apabila membelasah Brunei dalam aksi kedua kelayakan Kumpulan G, malam ini.
Aksi yang berlangsung di Stadium National Olimpik, Phnom Penh di Kemboja menyaksikan anak buah Brad Maloney melakar keputusan 11-0 dan ia adalah kemenangan kedua selepas membenam tuan rumah 5-4 Sabtu lalu.
Kemenangan besar itu sudah tentunya memberi kelegaan buat Maloney yang diletakkan harapan besar untuk muncul juara kumpulan sekaligus layak secara automatik ke pusingan akhir bersama 10 juara kumpulan yang lain.
Selain tiket selaku juara kumpulan menanti untuk ke Uzbekistan, empat pasukan terbaik di tangga kedua daripada 11 kumpulan turut layak tahun depan.
Untuk itu, kem negara membariskan skuad terbaik biarpun tanpa dua tonggak utama iaitu Ahmad Zikri Khalili dan Mukhairi Ajmal yang dilayangkan kad merah pada aksi pertama sebelum ini.
Penyerang prolifik negara, Luqman Hakim Shamsudin membuktikan ketajamannya apabila menyumbat empat gol.
Pada babak pertama, skuad negara mendahului 7-0 sebelum menambah empat lagi pada baki 45 minit di separuh masa kedua.
Pesta gol negara dimulakan oleh Azrin Afiq pada minit ke-17 sebelum Luqman (m-21, 22, 24 dan 41), Azam Azmi (m-31, 60), Aiman Afif (m-39, 85, 90) dan Harith Haiqal (m-59).
Selepas ini, skuad muda negara akan bertemu Kepulauan Utara Mariana Jumaat ini dan Thailand pada aksi terakhir dua hari kemudian.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 10:33 PM
No comments:
Post a Comment