Mohamad Norza
SINGAPURA - Ketua Kontinjen
Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menyeru pemain bola sepak negara
agar mempamer aksi lebih bersemangat apabila menentang Thailand dalam
perlawanan ketiga Sukan SEA Singapura di Stadium Bishan, hari ini selepas
kurang dilihat ‘bernafsu’ dalam dua perlawanan terdahulu.
Kekalahan 1-5 kepada Vietnam
dalam perlawanan kedua Kumpulan B kelmarin memperlihatkan pemain skuad bawah 23
tahun negara bagaikan tidak begitu ghairah untuk memburu pingat emas.
Ini adalah kali kedua berturut-turut
Malaysia mempamer aksi longlai selepas turut gagal menyerlahkan keupayaan
sebenar ketika menang tipis 1-0 ke atas Timor Leste dalam aksi pembukaan.
“Selepas perlawanan bertemu
Timor Leste lagi saya sudah cakap dengan (Datuk) Ong Kim Swee tentang
permainan yang kita tunjukkan tidak memberi petanda seolah-olah kita hendak
pingat emas, dan ia berlaku lagi ketika menentang Vietnam.
“Saya harap pemain serius dan
tunjukkan prestasi baik kerana rakyat Malaysia meletakkan harapan yang tinggi
terhadap bola sepak. Perkara itu boleh dilihat kepada kebanyakan publisiti
berita sukan di negara kita, sekurang-kurangnya 70 peratus berkaitan bola
sepak.
“Memang saya cukup sedih
dengan pencapaian bola sepak kita selepas kalah 1-5 kepada Vietnam, yang mana
dua penalti diberikan kepada lawan.
“Mereka kini berada dalam
keadaan tertekan kerana perlu mengalahkan Thailand jika mahu terus bersaing di
Sukan SEA.
“Peminat berhak mendapat lebih
baik daripada keputusan semalam (kelmarin), sekurang-kurangnya maruah negara tidak
tercalar begitu teruk sekali pun kalah,” kata Norza.
Pasukan negara meraih keputusan
terburuk sejak Sukan SEA 1999 di Brunei dan kekalahan paling besar dalam era
bawah 23 tahun semenjak format ini mula diperkenalkan pada tahun 2001 di Sukan
SEA Kuala Lumpur.
Kekalahan paling besar yang
dialami pasukan negara sebelum ini adalah pada Sukan SEA 1999 iaitu dibelasah
6-0 oleh Indonesia di saingan peringkat kumpulan.
Kini, skuad negara perlu
bangkit menewaskan Thailand di Stadium Bishan, petang ini atau mereka boleh
melupakan peluang beraksi di separuh akhir.
Sekiranya gagal menempatkan
diri dalam saingan empat terbaik, ia akan mengakhiri rekod cemerlang Malaysia
yang tidak pernah kandas di peringkat kumpulan sejak 2007.
Sementara itu, Norza
mengesahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghantar pulang Muhd. Nazmi
Faiz Mansor setelah khidmatnya tidak dapat digunakan walaupun skuad negara
berpeluang layak ke perlawanan akhir ekoran digantung enam perlawanan oleh
Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
“Saya boleh sahkan FAM akan
hantar pulang Nazmi pada hari ini (semalam) setelah menerima penggantungan enam
perlawanan.
“Keputusan ini memang patut
dibuat kerana daripada mula lagi saya sudah katakan, sikap yang ditunjukkan
oleh Nazmi bukan sesuatu yang boleh dijadikan contoh.
“Sebelum AFC menjatuhkan
hukuman ini, bagi saya sewajarnya dia patut dihantar pulang kerana tindakannya
ini perlu dihukum agar memberi pengajaran kepada dirinya dan atlet lain,”
katanya.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/bersemangatlah-malaysia-1.98848#sthash.sOlTIovZ.dpuf
No comments:
Post a Comment