Ad

Wednesday, 3 June 2015

Bola jaring: Malaysia ikat Singapura


 
PARA pemain negara bersorak kegembiraan selepas berjaya mengikat tuan rumah, Singapura pada perlawanan ketiga acara bola jaring Sukan SEA 2015 di OCBC Arena semalam.

SINGAPURA – Pertarungan yang cukup dramatik antara dua seteru utama rantau ASEAN menyaksikan Malaysia ber­jaya mengikat tuan rumah Singapura dengan catatan mata 35-35 pada aksi ketiga acara bola jaring pada Sukan SEA 2015 di OCBC Arena semalam.

Menerima sokongan hampir 1,000 penyokong, Singapura bermula garang apabila mencatat mata 13-8 untuk suku pertama dengan Charmaine Soh menjadi watak penting sebagai penjaring utama.

Suku kedua menyaksikan Malaysia kembali mengimbangi perlawanan apabila berjaya meraih 11 mata berbanding Singapura dengan sembilan mata untuk merapatkan kedudukan 19-22.

Tanpa kelibat penjaring utama, Norashikin Kamalzaman yang digantikan dengan An Najwa Azizan, aksi Malaysia pada suku ketiga kurang menyengat apabila hanya menambah lima mata berbanding Charmaine yang terus mengganas menambah lapan lagi mata untuk Singapura terus di depan dengan 30-24.

Suku terakhir menyaksikan perlawanan semakin sengit dengan Izyan Syazana Mohd. Wazir berjaya mendapatkan mata pertama sebelum Malaysia terus memberi tekanan kepada Singapura dengan menambah tiga lagi jaringan untuk menjadikan kedudukan 28-30 buat seketika.

Lima minit sebelum perlawanan tamat, Malaysia buat pertama kalinya berjaya mendahului Singapura dengan 32-31 melalui mata yang dihasilkan oleh Izyan Syazana yang berjaya menemui sentuhan bersama An Najwa.

Perlawanan terus rancak kurang dua minit sebelum perlawanan berakhir apabila pemain Singapura, Kimberly Lim mendapatkan mata untuk Si­ngapura menjadikan kedudukan 35-34 sebelum Izyan Syazana muncul kira-kira 30 saat sebelum perlawanan tamat untuk menyamakan kedudukan.

Sementara itu, Izyan Syazana yang ditemui selepas perlawanan mengakui bahawa dewan yang dipenuhi penyokong Singa­pura tidak dapat meruntuhkan emosi dan semangatnya dan rakan-rakan lain.

“Kami turun dan bermain mengikut apa yang dirancang oleh jurulatih dan tidak merasai apa-apa tekanan walaupun pada awalnya kami ketinggalan.

“Walaupun sekadar seri, sekurang-kurangnya kami sudah berjaya mencalarkan ego Singapura sebagai tuan rumah,” katanya.

Keputusan seri itu meletakkan Malaysia di kedudukan teratas dengan kelebihan jari­ngan selepas tiga aksi mengatasi Si­ngapura.

Malaysia seterusnya akan bertemu Brunei hari ini sebelum melengkapkan saingan peringkat liga satu pusingan ini dengan menentang Thailand esok.

Kelmarin, skuad negara membelasah Filipina 112-11 pada perlawanan kedua, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka untuk melangkah ke final.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0603&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz3bzVXCewU Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment