Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI
PEMAIN skuad negara (jersi
kuning) cuba melepasi halangan pemain junior pada aksi persahabatan di Bukit
Jalil, Kuala Lumpur semalam.
SEPARUH Akhir Liga Hoki Dunia
di Belgium bakal membuka tirainya 20 Jun ini dan pengendali skuad hoki negara,
Tai Beng Hai kini berkira-kira untuk menilai 25 pemain yang menyertai latihan
pusat sebelum menyenaraikan 18 nama akhir yang akan dibawa ke kejohanan
tersebut.
Menurutnya, pemain-pemain yang
dipilih mestilah menepati kriteria yang telah ditetapkan sebagai langkah berjaga-jaga
menghadapi saingan daripada pasukan-pasukan yang boleh dianggap antara terbaik
di dunia.
Antara kriteria yang
dimaksudkan adalah mampu memperagakan aksi yang menarik selain berkebolehan
untuk melakukan pukulan sudut penalti kerana menerusi pukulan itulah pasukan
negara berpeluang cerah untuk menjaringkan gol.
“Sekarang ini ada 25 pemain
yang mengikuti latihan tetapi hanya 18 pemain terbaik sahaja akan dipilih untuk
membarisi skuad negara ke Belgium nanti. Pemain-pemain yang akan kita pilih haruslah
menepati kriteria-kriteria yang kita tetapkan.
“Kita perlukan pemain-pemain
yang bagus dan boleh memberi sokongan kepada pemain utama ketika diperlukan.
Mereka haruslah memiliki kebolehan untuk melakukan pukulan sudut penalti.
“Paling penting, mereka perlu
menjadi pemain versatil yang mampu bermain dua atau tiga posisi,” katanya
kepada pemberita selepas tamat perlawanan persahabatan antara skuad hoki
senior menentang pasukan junior yang akan beraksi pada temasya Sukan SEA 2015
di Singapura.
Pada perlawanan tersebut, skuad
bimbingan Beng Hai mencatat kemenangan 5-3 menerusi Faizal Saari, Muhd. Haziq
Samsul, Meor Muhammad Azuan Hasan dan dua gol daripada Muhammad Razi Abdul
Rahim, manakala gol pasukan junior dijaringkan oleh Abdul Khaliq Hamirin, Muhammad
Amirol Aideed Mohd Arshad dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan.
Beng Hai turut mengakui skuad
bimbingannya itu kini berada di landasan betul untuk menghadapi kejohanan di
Belgium itu sambil menegaskan akan membaiki segala kelemahan dari semua segi dalam
usaha menyediakan sebuah pasukan yang benar-benar mantap.
Sementara itu, jurulatih skuad
junior, Arul Selvaraj menyifatkan anak-anak buahnya kini berada dalam keadaan
cukup bersedia sebelum berangkat ke Singapura dalam misi mempertahankan pingat
emas yang dimenangi pada temasya Sukan SEA ke-27 di Myanmar dua tahun lalu.
“Mereka sudah bersedia untuk ke
Sukan SEA. Permainan mereka begitu berbeza berbanding ketika tewas 1-6 tempoh
hari, terutama dari segi sikap yang ditonjolkan ketika perlawanan. Saya harap
mereka akan turut persembahkan aksi sebegini ketika di Singapura.
“Bagaimanapun, ada beberapa
kelemahan yang perlu diperbaiki. Apabila letih, mereka mudah hilang fokus
sehingga melakukan kesilapan-kesilapan mudah, jadi mereka juga harus bersedia
dari segi mental,” ujarnya.
Arul juga menjelaskan, ada satu
pertukaran pemain yang dilakukan terhadap barisan pemainnya selepas penjaga
gol, Khairulnizam Ibrahim tercedera ketika melakukan latihan, Khamis lalu.
“Saya membawa masuk Mohamad Adi
Fazri Ab. Rahim untuk menggantikan Kharulnizam yang cedera pada bahagian lutut
ketika sesi latihan yang diadakan pada Khamis lalu. Selain itu, pasukan kita
bebas dari sebarang kecederaan,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0603&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3c03rUJoU
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment