Ad

Sunday, 7 June 2015

Dollah kena buat ulang kaji

FADHILUL IZMEL ISHAK  |  08 Jun 2015 12:12 AM
Mohd. Amri Yahyah  (kiri) diasak pemain Hong Kong, Bai He dalam
Mohd. Amri Yahyah  (kiri) diasak pemain Hong Kong, Bai He dalam
MOHD. AMRI YAHYAH (kiri) diasak pemain Hong Kong, Bai He dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, semalam. utusan/Roy Azis Abd. Aziz

KUALA LUMPUR - Akibat terlalu banyak me­luang­kan masa untuk mencari senarai 23 pemain ter­akhir menyebabkan jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Dollah Salleh menghadapi kekangan dalam menyiap­kan anak-anak buahnya berlatih secara berpasukan.
Dollah mengakui, masih banyak kerja rumah yang perlu dilakukan untuk memantapkan skuad Harimau Malaya selepas mengesan beberapa kelemahan ketika seri tanpa jaringan dalam aksi persahabatan menentang Hong Kong di Stadium Shah Alam, kelmarin.
“Sudah pasti saya kecewa de­ngan keputusan perlawanan se­bab kami patut menang, tambahan pula ber­aksi di depan penyokong sendiri. Bagaimanapun pasukan ini dibentuk dalam tempoh seminggu dan saya tetap puji persembahan mereka.
“Sebelum ini saya menghabiskan masa seminggu untuk membuat pemilihan pemain dan hanya beberapa hari saja mereka berlatih secara berpasukan. Masa yang ada untuk menyiapkan pasukan agak terhad, namun melihat kepada permainan yang dipamerkan pujian layak diberi.
“Terdapat beberapa kelemahan berjaya dikenal pasti hasil daripada perlawanan ini dan saya perlu segera memperbaikinya sebelum kami menghadapi perlawanan yang seterusnya.
“Saya nampak pasukan lemah daripada segi membuat hantaran, sokongan rakan sepasukan dan menyerang.
“Kami mula menemui rentak pada babak kedua, namun di­sebabkan jentera serangan tidak bersemangat dalam pembu­ruan gol dan tidak mem­punyai penyudah yang baik menye­babkan gawang lawan gagal dibolosi,” kata­nya.
Dalam pada itu, Dollah turut me­nuntut penyerang Sela­ngor, Mohd. Afiq Azmi yang diberi peluang beraksi dalam 90 minit permainan agar menambahkan kekuatan untuk memboleh­kannya melancarkan serangan ke arah kubu lawan dengan baik.
“Afiq main bagus, dia memiliki kelebihan dalam kawalan bola, namun saya lihat dia perlukan soko­ngan daripada rakan sepasukan yang lain.
“Saya akan cuba untuk membuat pertukaran penyerang antara Afiq, Mohd. Amri Yahyah serta Safee Sali dan lihat kombinasi tersebut,” katanya lagi.
Tambah Dollah dia yakin dengan skuad kendalian yang dimiliknya ketika ini bagi menghadapi dua perlawanan iaitu menentang Timor Leste pada 11 Jun dan Palestin (16 Jun) bagi memulakan kempen kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.
“Saya perlu menggilap penye­rang saya agar sentuhan mereka tidak tumpul dan dalam masa sama pe­nyerang memerlukan sokongan bahagian tengah. Saya akui ketiadaan Safiq Rahim persembahan pasukan sedikit terencat,” ujarnya.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/dollah-kena-buat-ulang-kaji-1.100309#sthash.aWmLSMCl.dpuf

No comments:

Post a Comment