RABU, 3 JUN 2015 @ 7:17 PM
Sukan SEA:
RATU renang berirama Malaysia
Zylane Lee (kiri) dan Katrina Ann Abdul Hadi beraksi dalam acara renang
berirama berpasangan pada Sukan SEA ke-28, di Singapura. - Foto Osman Adnan
SINGAPURA: Ratu renang berirama Malaysia, Katrina Ann Abdul Hadi dan Zylane Lee
berada di landasan terbaik untuk merangkul pingat emas acara renang berirama
berpasangan pada Sukan SEA ke-28, di sini. Selepas permulaan cemerlang pada
aksi pembukaan di Pusat Akuatik OCBC semalam, Katrina Ann dan Zylane sekali
lagi mendahului saingan itu selepas pusingan awal rutin bebas berpasangan
dengan mengutip 76.3333 mata. Pasangan negara itu mendahului dua gandingan tuan
rumah, Stephanie Chen-Crystal Yap dan Natalie Chen-Debbie Soh yang
masing-masing di tempat kedua dan ketiga selepas mengumpul 75.2333 dan 72.7333
mata. Pada aksi pusingan awal rutin teknikal semalam, pasangan Malaysia itu
mengumpul 75.3436 mata.
Walaupun mendahului pusingan awal rutin bebas,
Katrina Ann berkata mereka perlu memperbaiki lagi dari aspek teknikal untuk
berada di landasan tepat dalam meraih pingat emas. "Kami melakukan sedikit
kesilapan teknikal terutama dalam pergerakan seirama yang tidak begitu tepat.
Ia rutin baru kami dalam tahap kesukaran yang tinggi dan agak sukar untuk
mencapai pergerakan seirama yang sempurna.
"Pada pusingan akhir esok, kami harap
dapat mengurangkan kesilapan pergerakan kami. Kami sudah melakukan yang terbaik
hari ini dan mahu terus menjadi lebih baik (esok)," kata atlet berusia 22
tahun itu. Nada sama turut disuarakan pasangannya, Zylane bagi menghadapi
pusingan akhir esok. "Kami tidak akan mengubah rutin sebaliknya kami perlu
memastikan pergerakan kami lebih sempurna. Kami akan cuba mengelak daripada
melakukan kesilapan," kata Zylane. - Bernama
Sumber :
http://www.bharian.com.my/node/58938
No comments:
Post a Comment