RABU, 3 JUN 2015 @ 11:45 AM
SINGAPURA: Ketua Kontinjen Negara
ke Sukan SEA 2015, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan pemain tengah
skuad Bawah 23 (B-23) negara, Muhammad Nazmi Faiz Mansor akan dihantar pulang
ke tanah air hari ini selepas digantung enam perlawanan akibat meludah pemain
lawan. Beliau berkata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak sepatutnya
menangguhkan hukuman ke atas pemain berkenaan yang dianggap telah mencemar nama
baik negara pada kejohanan sukan antarabangsa seperti Sukan SEA memandangkan
setiap atlet yang menggalas cabaran negara merupakan 'duta kecil' yang membawa
nama baik Malaysia yang merupakan Pengerusi ASEAN 2015.
"Bagi saya, dari
mula apa yang dibuat oleh (Muhammad) Nazmi Faiz dalam sukan perpaduan seperti
Sukan SEA ini merupakan satu contoh yang tidak baik. Perbuatan sedemikian perlu
diambil tindakan segera," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Muhammad Nazmi yang juga pemain skuad Liga Super Selangor sah terlepas baki
saingan acara bola sepak pada temasya Sukan SEA 2015 yang sedang berlangsung di
Singapura. Pemain Selangor itu yang sebelum ini digantung dua perlawanan,
terpaksa menempah 'tiket awal' pulang ke tanah air selepas Jawatankuasa
Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia AFC pada Selasa memutuskan mengenakan
penggantungan enam perlawanan akibat kesalahan meludah pemain Timor Leste pada
aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Bishan, Singapura,
Sabtu lepas. Hukuman
berkenaan disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi laman
Facebook rasmi mereka, semalam. Muhammad Nazmi Faiz dilaporkan meludah pemain
Timor Leste, Filipe Oliveira sehingga pengadil, Chuan Hui Foo dari Singapura,
melayangkan kad merah ke atas pemain kelahiran Lembah Keramat itu. Insiden
berkenaan berlaku ketika pertemuan antara Malaysia dan Timor Leste pada aksi
pembukaan kumpulan B di Stadium Bishan, Singapura, Sabtu lepas yang menyaksikan
skuad B-23 negara menang tipis 1-0 hasil jaringan D. Saarvindran. Dalam pada
itu, Mohamad Norza meminta pemain skuad B-23 negara untuk melupakan kekalahan
besar 1-5 kepada Vietnam pada aksi kedua kumpulan B di venue yang sama, semalam
dan menuntut mereka kembali bangkit mencatat kemenangan menentang juara
bertahan, Thailand di Stadium Bishan, Khamis ini. Malaysia berada di tangga
keempat kumpulan B menerusi satu kemenangan dan satu kekalahan dan perlu meraih
kemenangan dalam baki tiga perlawanan dalam menghidupkan kembali peluang ke
peringkat separuh akhir Sukan SEA 2015. Perlawanan berkenaan adalah menentang
Thailand, Khamis ini; Brunei (8 Jun) dan Laos, tiga hari kemudian. - BERNAMA
PEMAIN tengah skuad Bawah 23 (B-23) negara, Muhammad Nazmi Faiz Mansor. - Foto
Hairul Anuar Abd Rahim. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
Sumber : http://www.bharian.com.my/node/58840
No comments:
Post a Comment