RABU, 3 JUN 2015 @ 7:22 PM
SINGAPURA: Harapan atlet lawan
pedang negara, Natasha Ezzra Abu Bakar untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA
Singapura berkecai apabila terkandas pada peringkat suku akhir acara foil
individu wanita yang berlangsung di Arena OCBC, Hab Sukan Singapura hari ini.
Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia itu tewas kepada
atlet Singapura, Wenying Wang dengan mata 14-15. Natasha Ezzra, 24, berkata
beliau memohon maaf kerana gagal merealisasikan harapan yang diletakkan
kontinjen negara kepadanya. "Hari ini bukan rezeki saya walaupun saya
berusaha mengejar mata setelah ketinggalan 6-9.
"Saya bekerja keras untuk
mencari mata kemenangan pada minit terakhir perlawanan, namun nasib tidak
berpihak kepada saya hari ini," katanya kepada pemberita hari ini. Atlet
berasal dari Johor itu berkata tumpuan beliau selepas ini adalah untuk membantu
pasukan meraih pingat tanpa mengira warna dalam acara foil berpasukan wanita
yang dijadual berlangsung Sabtu ini.
"Saya harap mampu melakukan sesuatu bagi
membantu pasukan," katanya. Selain Natasha Ezzra, tiga lagi atlet negara
yang beraksi dalam acara foil berpasukan wanita ialah Shaidatul Shafiqah Ab
Hamid, Ivy Cheah Hsiao Yong dan Fong Tyanne. - Bernama
Natasha Ezzra Abu Bakar
Selanjutnya di :
http://www.bharian.com.my/node/58941
No comments:
Post a Comment