PARA pemain negara tidak dapat
menahan kekecewaan selepas dibelasah 5-1 oleh Vietnam pada aksi kedua peringkat
Kumpulan B acara bola sepak Sukan SEA 2015 di Stadium Bishan, Singapura malam
tadi.
SINGAPURA – Malaysia kini
berdepan malapetaka apabila dibelasah 5-1 oleh Vietnam pada perlawanan kedua
peringkat Kumpulan B acara bola sepak Sukan SEA 2015 di Stadium Bishan malam
tadi.
Atas kertas, harapan untuk
melangkah ke pusingan kedua boleh dikatakan sukar kecuali mereka mampu meraih
kemenangan dalam baki tiga perlawanan selepas ini iaitu menentang Thailand,
Brunei dan Laos.
Keputusan memalukan itu
menyaksikan pasukan negara yang dibarisi pemain bawah 23 tahun (B23)
mencatatkan kekalahan pertama pada kempen kali ini selepas menang 1-0 ke atas
Timor Leste, Jumaat lalu.
Pada aksi malam tadi, skuad
kendalian Datuk Ong Kim Swee bermula garang apabila mengasak kubu pasukan
Vietnam seawal minit kedua menerusi sepakan percuma D. Saarvindran, namun
berjaya ditepis keluar Phi Minh Long.
Selepas itu, permainan mula
dikuasai Vietnam yang berjaya membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti
Mac Hong Quan gara-gara kesalahan Adam Nor Azlin menjatuhkan Nguyen Cong Phuong
pada minit ke-14.
Tersentak dengan gol tersebut,
Malaysia cuba bangkit mengasak kubu Vietnam, namun jentera serangan skuad
negara sentiasa gagal menembusi benteng pertahanan pihak lawan.
Menerusi satu serangan balas
hasil kesilapan barisan tengah negara, Vietnam berjaya menggandakan kedudukan
menerusi Cong Phuong yang memanfaatkan hantaran Ho Ngoc Thang pada penghujung
babak pertama.
Kem Malaysia terus ditimpa
malang apabila Vietnam sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti, kali ini
disempurnakan dengan baik oleh Vo Huy Toan sebaik sahaja separuh masa kedua
perlawanan bermula.
Pengadil perlawanan, Alkudhyar
Turki dari Arab Saudi yang dilihat banyak memberikan kelebihan kepada Vietnam
sepanjang aksi tersebut, menghadiahkan sepakan penalti itu selepas penjaga gol
Malaysia, Mohd. Farhan Abu Bakar menjatuhkan Chong Phuong.
Skuad kendalian Toshiya Miura
memastikan kemenangan menjadi milik Vietnam dengan gol keempat hasil sepakan
percuma daripada Chong Phuong pada minit ke-53.
Barisan pemain negara cuba
bangkit mendapatkan sekurang-kurangnya satu gol yang akhirnya berjaya diperoleh
menerusi jaringan penyerang gantian, Syahrul Azwari Ibrahim pada minit ke-77.
Ketika kem negara asyik
menyerang mencari gol seterusnya, Vietnam pula sebaliknya berpesta dengan
meledak gol kelima melalui jaringan pemain gantian, Nguyen Van Toan tiga minit
selepas itu menjadikan kedudukan 1-5 kekal sehingga tamat permainan.
“Ini adalah kekalahan yang
sangat mengecewakan kerana kami tidak pernah tewas sebegini teruk dalam kempen
Sukan SEA sebelum ini.
“Kami memberikan dua sepakan
penalti, dua kesilapan mudah dan satu sepakan percuma dan Vietnam mengambil
kesempatan ini untuk ‘membunuh’ rentak permainan kita,”
kata Kim Swee.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0603&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3c0Ev9zqk
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment