Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI dan
TENGKU ASYRAFF TENGKU SALLEHUDDIN
SAFIQ memiliki karakter
tersendiri selain mempamerkan prestasi cemerlang bersama Johor DT dan pasukan
kebangsaan.
JURULATIH Harimau Malaya,
Dollah Salleh tidak menolak kemungkinan akan menyerahkan tugas kapten kepada
bintang Johor Darul Takzim (Johor DT), Safiq Rahim menjelang aksi kelayakan
Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.
Ini kerana Dollah mengakui
Safiq memiliki karakter tersendiri selain mempamerkan prestasi cemerlang ketika
bersama Harimau Selatan mahupun pasukan kebangsaan sepanjang perlawanan lalu.
Tambah bekas pengendali Pahang
itu, bekas pemain Selangor tersebut yang pernah dilantik sebagai kapten ketika
berada di bawah bimbingan bekas jurulatih, Datuk K. Rajagobal, adalah calon
paling ideal selepas mantannya, Shukor Adan bersara daripada arena antarabangsa
selepas beraksi buat kali terakhir di pentas Piala AFF Suzuki 2014, Disember
lalu.
Bagaimanapun, Dollah bukan
sahaja menghamburkan pujian kepada Safiq tetapi semua 31 pelatih yang menjalani
sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya telah mempamerkan prestasi cemerlang dan
konsisten, sekali gus menyebabkan beliau sukar untuk menyenaraikan 23 pemain
untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.
“Kita saksikan nanti. Nampak
gaya macam itulah (Safiq dilantik sebagai kapten). Sebenarnya, saya berpuas
hati dengan semua pemain sebab itu saya sukar untuk membuat pilihan.
“Sebab itu kena senaraikan
cepat ke–rana perlu membuat persiapan menentang Hong Kong (di Stadium Shah Alam
pada 6 Jun ini) kerana saya perlu tumpukan kepada individu pemain dalam usaha
mengeluarkan senarai akhir.
“Itu yang membuatkan saya
khuatir dengan persiapan sebab saya perlu untuk menerapkan konsep dalam
latihan. Saya juga mahu semua pemain faham dengan apa yang hendak saya
tekankan. Jadi saya akan keluarkan senarai secepat mungkin,” katanya ketika
ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Dalam perkembangan sama, Dollah
mengakui beliau memiliki bayangan 23 pemain tetapi enggan terburu-buru mengikut
gerak hati yang mana masih mahu berbincang dengan barisan kejurulatihan pasukan
kebangsaan sebelum mengeluarkan senarai rasmi nanti.
Jelasnya, beliau tidak menolak
kemungkinan untuk senarai 23 pemain yang bakal beraksi di kelayakan Piala Dunia
2018 dan Piala Asia 2019 pada hari ini.
“Ada sedikit gambaran tetapi
masih belum lagi senaraikan pemain akhir. Saya agak khuatir juga kerana takut
kesilapan yang kita lakukan sebab itu saya masih berbincang.
“Walaupun saya ada berbincang,
namun masih belum lagi dapat keluarkan senarai. Jadi, kita sambung latihan pada
malam ini (semalam), kalau boleh saya akan cuba mengeluarkan senarai tersebut
seboleh-bolehnya esok kerana mahu tumpuan lebih kepada latihan 23 pemain khasnya
kesebelasan utama,” katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3c2vIINsA
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment