Oleh ZAKI SALLEH
zaki.salleh@kosmo.com.my
Serangan tentera Jepun itu berlaku hampir tujuh dekad
lalu. Namun kepada sebahagian warga emas yang tinggal di pantai Kuala Pak Amat,
Perang Dunia Kedua seolah-olah baru saja terjadi.
KIRA-KIRA 67 tahun lalu, pantai Kuala Pak Amat dekat
Pengkalan Chepa, Kota Bharu merakam detik penting. Ia menjadi lokasi pertama
serangan tentera Jepun di Tanah Melayu melalui perairan Kelantan yang
menyaksikan bermulanya Perang Pasifik.
Mejar Jeneral Hiroshi Takumi, yang mengetuai bala tentera
seramai 5,200 orang (dikenali sebagai Detasmen Takumi), dengan armada tiga
kapal pendarat dan tujuh kapal perang, memilih kawasan pantai itu sebagai
lokasi pendaratan.
Hari ini, pantai Kuala Pak Amat hanya tinggal nama. Ini
kerana tanahnya sejauh kira-kira lima kilometer dari pantai 'punah' ditelan air
Laut China Selatan. Malah, gigi pantai di sini hanyalah saki-baki kampung itu
yang pernah menjadi penempatan kira-kira 60 buah keluarga.
Walaupun peristiwa perang telah lama bersemadi dalam
lipatan sejarah, tetapi bagi generasi lama kampung ini dan Kampung Pulau
Panjang yang terletak di sebelahnya, ia seperti baru semalam berlaku.
"Beberapa jam sebelum serangan, saya duduk di
madrasah kampung bersama rakan-rakan sambil melihat tentera-tentera Punjab
berkubu di sana sebelum terdengar bunyi letupan kira-kira pukul 12 malam 7
Disember 1941," cerita Omar Senik, 81.
Katanya, beberapa bulan sebelum perang meletus, sekitar
pantai di situ menjadi kawasan larangan apabila tentera British dah Punjab mula
membina kubu-kubu pertahanan konkrit dan kubu guni pasir serta dipasang pagar
berduri. Malah, kawalan keselamatan diperketatkan.
Menceritakan suasana sebelum perang, Omar yang ketika itu
berusia 14 tahun berkata, penduduk kampung yang rata-ratanya nelayan dan petani
tidak begitu mengendahkan soal tersebut.
Menurut beliau, oleh kerana kerap berada di situ,
kehadirannya cukup disenangi tentera Punjab. Beliau menjadi budak suruhan
mereka dan belajar bahasa Punjabi.
DERAMAN MOHAMED menunjukkan lokasi pendaratan tentera
Jepun di Kampung Pulau Panjang, Pengkalan Chepa, Kelantan.
"Saya kerap masuk ke kawasan kubu tentera Punjab
sambil tengok mereka berkawal. Pada satu peringkat saya sudah boleh menyanyikan
dikir barat dalam bahasa mereka," ujarnya tertawa mengingati kisah
tersebut.
Katanya, beberapa jam sebelum serangan meletus, seorang
pegawai tentera British memanggilnya ke kubu dan meminta beliau menghiburkan
mereka sambil dijamu makanan.
"Selesai menyanyi pegawai itu keluar. Tiga anggota
tentera Punjab yang saya kenali berpesan agar saya meninggalkan kawasan itu ke
bandar Kota Bharu kerana katanya perang akan meletus tidak lama lagi.
"Saya hanya menganggukkan kepala sebelum pulang
semula ke madrasah. Itulah kali terakhir saya melihat mereka.
"Letupan pertama kedengaran kira-kira pukul 12
malam, saya tersentak apabila melihat percikan api bertali-arus dari arah kubu
tentera Punjab ke tengah laut, diikuti letupan-letupan kecil.
"Saya dan rakan-rakan yang ketakutan keluar
menyembunyikan diri di bawah madrasah, memang saya tak boleh lupa peperangan
itu," jelasnya.
Omar berkata, beliau masih ingat beberapa bot tentera
Jepun mendarat di pantai kampung itu yang terletak hanya 100 meter dari
rumahnya. Tetapi ramai di antara mereka mati ditembak mesingan tentera British.
"Tentera Jepun yang mendarat tidak mengapa-apakan
penduduk kampung, sebaliknya mengarahkan kami bersembunyi dan memberitahu
kedatangan mereka untuk menghalau tentera British," ujarnya yang petah
bercerita.
Pengalaman melihat mayat tentera Jepun dan Punjabi
bergelimpangan masih segar dalam ingatan seorang lagi penduduk kampung, Nawi
Mohamad, 80, yang ketika itu berusia 13 tahun.
"Sejak berkubu di tepi laut, tentera British sering
buat latihan, jadi bila dengar letupan malam itu kami penduduk kampung ingat
mereka sedang berlatih. Kami tak pernah terfikir pun nak berlaku perang.
"Tapi bila tembakan dan letupan tak henti-henti
serta selepas ditinjau di pinggir pantai, barulah kami tahu tentera Jepun sudah
mendarat di pantai Kuala Pak Amat.
"Semua penduduk bersembunyi di bawah rumah bimbang
kena peluru sesat, tapi Alhamdulilah tiada siapa pun cedera hingga hari siang.
"Dalam kekalutan pertempuran, tiga tentera Jepun
yang mendarat mati di bergelimpangan di hadapan rumah saya, dan sehingga hari
ini saya masih terbayang wajah mereka.
"Suasana perang memang menakutkan kerana peluru datang
macam hujan, kapal terbang British tak henti-henti bom kapal Jepun di laut dan
tidak beberapa jam kemudian nampak api menjulang dari pengkalan tentera udara
British di Pengkalan Chepa yang terbakar," ujarnya.
Baru-baru ini, kedua-dua mereka bersama empat lagi rakan
seusia, Kadir Ismail, Mohamad Senik, Yaakob Awang Teh dan Deraman Mohamad hadir
pada majlis memperingati Perang Dunia Kedua yang diadakan di kampung itu 10
Disember lalu.
Menariknya, majlis anjuran Majlis Tindakan Pelancongan
Negeri Kelantan (MTPN) itu turut dihadiri pesara guru, Toru Ogawa, 60, bersama
keluarganya dari Osaka, Jepun yang turut sama mengingati detik bersejarah itu.
"Saya cukup teruja mendengar kisah mereka, seperti
yang diceritakan datuk dan bapa saya.
"Malangnya, generasi muda Jepun hari ini tidak lagi
mengambil berat tentang sejarah peperangan tersebut yang seolah-olah cuba
dilupakan daripada sejarah," ujar Ogawa.
Bagi penduduk Kampung Pulau Panjang, Yaakob Awang Teh
pula yang ketika itu berusia 18 tahun, beliau dapat mengingati dengan jelas
suasana kehidupan di kampung semasa pendudukan tentera Jepun.
"Ada yang baik dan ada yang garang, tapi kebanyakan
yang datang mendarat di sini merupakan anggota tempur sebelum diambil alih
pasukan kejuruteraan dan unit-unit tugas biasa tentera.
"Perang juga memberi rezeki kepada remaja kampung
masa itu apabila kami diambil bekerja membaiki pangkalan udara di Pengkalan
Chepa, dan kerja saya ialah meratakan landasan kapal terbang menggunakan batu
kerikil.
"Pernah sesekali saya disepak tentera Jepun kerana
kerja main-main, tapi rata-rata kami yang bekerja sebagai buruh dilayan
baik," ceritanya.
Omar yang kemudian mencelah menjelaskan, penduduk kampung
ketika itu terutama remaja sepertinya tertunggu-tunggu kedatangan tentera Jepun
kerana diberitahu negara Asia Timur itu menjanjikan pelbagai kemewahan.
CHALET Tiram Beach Resort yang tidak lagi beroperasi
selepas dihakis ombak besar di pantai Kuala Pak Amat.
Katanya, kehidupan di bawah penjajahan British yang
menghalang pendidikan di kalangan penduduk luar bandar menyebabkan mereka
terpinggir dan hanya bersekolah pondok, melainkan golongan bangsawan dan orang
berada.
"Saya memang nak bersekolah, tapi orang putih tak
benarkan buka sekolah di kampung. Namun, khabar angin beritahu jika Jepun
datang mereka nak buka sekolah dan itu menyebabkan saya tidak sabar-sabar.
"Selain itu, ramai yang cerita harga beras akan
murah bila Jepun perintah selain harga barang-barang lain seperti kain baju
lebih rendah, tapi sebenarnya cuma setahun sahaja kami hidup senang sebelum
keadaan berubah," katanya.
Menariknya, beliau suka bergaul dengan tentera Jepun
sehingga kini fasih berbahasa Jepun selain mengingati beberapa baris lagu yang
kerap dinyanyikan ketika itu.
"Dulu kawasan di sini dipenuhi paya dan hutan nipah,
jadi saya kerap disuruh bawa tentera-tentera Jepun berperahu meninjau-ninjau
kawasan sekitarnya.
"Masa itu zaman budak-budak mana fikir takut, tapi
seronok bergaul dan mereka (tentera Jepun) sesekali bagi habuan seperti makanan
atau duit," jelasnya.
Katanya lagi, kehidupan di kampung yang serba sederhana
menyebabkan mereka tidak begitu merasai kesempitan hidup semasa perang, dan
keadaan di bawah pemerintahan Jepun tidak banyak bezanya dengan British.
"Jepun atau British sama saja, tapi penjajah British
pula melayan kita (orang kampung) macam kambing, mungkin sebab generasi masa
itu tidak berpendidikan lalu sering ditindas.
"Walaupun Jepun paksa kita ke sekolah, tapi
setidak-tidaknya ada juga peluang belajar.
"Sebab itu saya kerap ingatkan anak cucu saya agar
bersyukur kerana keadaan negara kita hari ini jauh berbeza setelah merdeka.
Kita kekalkan usaha pemimpin terdahulu," tegasnya yang masih berharap agar
keadaan pantai Kuala Pak Amat dipelihara.
TENTERA-TENTERA Jepun berbasikal dalam gerakan mereka
untuk menakluki Tanah Melayu pada bulan Disember 1941.
Bagaimanapun, harapan Omar dan rakan-rakannya yang kini
meniti usia senja mungkin hanya tinggal impian.
Setelah lima dekad negara mencapai kemerdekaan, tetapi
nasib pantai itu terus terbiar sepi. Kawasan yang menyimpan sejarah negara
semasa Perang Dunia Kedua itu hanya menunggu masa sebelum lenyap sepenuhnya
ditelan ombak seperti kubu-kubu pertahanan British yang telah bersemadi di
dasar lautnya.
Sumber-kosmo online 2008
No comments:
Post a Comment