Ad

Wednesday, 19 March 2014

Sathia: Mungkin tiada rombakan

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mac 2014
Sathia: Mungkin tiada rombakan
Sathia: Mungkin tiada rombakan Spase Dilevksi (kiri) antara pemain import yang beraksi buat ATM, musim ini.

PENGENDALI Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B Sathianathan memberitahu bahawa beliau tidak akan merombak skuad yang dimiliki sekarang meskipun masih mempunyai peluang untuk mengubahnya sebaik jendela perpindahan pemain buat kali kedua dibuka pada 23 Mac ini.

Menurut Sathianathan, beliau merasakan peluang kedua sewajarnya diberi kepada pemain import mahupun tempatan setelah mengambil kira peningkatan yang dipamerkan pemain ketika beraksi menentang Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Selayang Sabtu lalu.

Katanya, beliau percaya skuad yang dimiliki sekarang itu boleh memberi persembahan terbaik dan membantu pasukan mencapai apa yang dicanang musim ini.

"Apa yang dilihat persembahan pemain baru-baru ini saya rasa skuad ATM mungkin tak akan dirombak. Dan mungkin keputusan itu akan kekal.

"Saya lihat tiada keperluan untuk saya merombaknya jika prestasi yang dipamerkan pemain semakin memuaskan hati kami. Oleh itu, saya rasa peluang kedua wajar diberi. Namun, masa masih panjang dan semuanya bergantung kepada keadaan ," katanya.

Sebelum ini, Sathianathan pernah melahirkan rasa kecewanya kepada pemain-pemain import, Bruno Martelotto, Juan Arostegui dan Marlon Alex James yang dilihat gagal memberikan sumbangan kepada The Gladiators.

Melihat situasi itu, beliau memberitahu tidak teragak-agak mencari pemain baharu khususnya pemain import yang lebih berkualiti bagi jendela perpindahan pemain yang akan dibuka nanti.

Menjawab berhubung kenyataannya sebelum ini, bekas pengendali Kelantan itu berkata, beliau percaya anak didiknya tidak akan melepaskan peluang yang diberi dan akan membalas kepercayaan itu dengan sebaik mungkin.


"Peluang sudah diberi sekarang terpulang kepada mereka untuk menghargainya ataupun tak, Tapi sebagai jurulatih saya sudah melakukan yang terbaik," katanya.

No comments:

Post a Comment