Pemain Selangor S. Kunanlan
(kanan), mengasak penyerang Kelantan, Ahmad Fakri Saarani dalam perlawanan Liga
Super di Stadium Shah Alam malam tadi. Selangor menang 1-0. -
MINGGUAN/SHIDDIEQIIN ZON
SHAH ALAM - Selangor kembali di
landasan kemenangan tetapi hanya selepas berhempas pulas untuk mengatasi
Kelantan 1-0 di Stadium Shah Alam melalui jaringan tunggal ayam tambatan dari
Brazil, Paulo Rangel pada minit ke-22.
Tiga mata berharga itu
meletakkan Red Giants kembali ke dalam kelompok teratas liga dengan 13 mata
bersama-sama Pahang dan Kelantan, selain Terengganu yang dikejutkan dengan
kekalahan kepada Sime Darby FC.
Skuad The Red Warriors pula
seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana gagal mendapatkan gol, terutama
peluang menerusi sepakan penalti pada minit ke-20 yang menyaksikan sepakan
Francis Forkey Doe diselamatkan oleh Mohd. Farizal Marlias setelah Mohamed
Shawky dikasari oleh S.Veenod.
Drama perlawanan semakin
menarik apabila tidak sampai seminit kemudian, Selangor pula dianugerahkan
sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Mohd. Nafeez Abdul Wahab selepas
Rangel dijatuhkan oleh Tuan Mohd. Faim.
Penjaring terbanyak Liga Super
itu tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila berjaya menewaskan Khairul
Fahmi Che Mat.
Di Stadium Selayang, Terengganu
yang berhajat mengukuhkan kedudukan di anak tangga teratas dihampakan oleh Sime
Darby FC apabila tewas 3-2 menerusi jaringan Nazrul Kamaruzaman pada minit
keenam, Mohd. Fazrul Hazli Mohd. Kadri pada minit terakhir separuh masa serta
sepakan penalti Farid Ramli pada minit ke-50.
Dua gol skuad Penyu dihasilkan
oleh pemain tengah, Ismail Faruqi pada minit ke-24 dan Norfarhan Muhammad pada
minit ke-70.
Sementara itu, Pahang mengutip
tiga mata penuh di gelanggang sendiri apabila menumpaskan Sarawak 3-1 di
Stadium Darul Makmur.
Gol pertama Pahang berpunca
daripada kesilapan pemain pertahanan Sarawak, Ronny Harun yang tersepak masuk
bola ke gawang sendiri ketika cuba menghalang hantaran Dickson Nwakaeme pada
minit ke-29.
Damion Stewart menambah luka
Sarawak apabila menanduk masuk bola sepakan sudut Mohd. Hafiz Kamal minit-61
dan 10 minit kemudian hantaran Nwakaeme dirembat kencang dari luar kotak
penalti oleh Mohd. Hafiz.
Sarawak memperoleh gol saguhati
hasil rembatan Rashid Aya pada minit ke-90.
Johor Darul Ta'zim (JDT) yang
beraksi dengan 10 pemain masih mampu mencatat keputusan seri 1-1 dengan ATM di
Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru bagi mengekalkan rekod tanpa kalah
mereka di tempat sendiri musim ini.
Pasukan pelawat lebih dulu
menghasilkan gol menerusi rembatan jarak dekat oleh Mohd. Riduwan Maon pada
minit ke-39.
JDT semakin terdesak apabila
ketua pasukannya, Baihakki Khaizan dilayangkan kad kuning kedua pada minit
ke-65 tetapi ia seperti tonik yang memberi semangat kepada pasukan tuan rumah
untuk bekerja lebih keras.
Usaha mereka akhirnya berjaya
menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-86 menerusi tandukan penyerang
kebangsaan, Mohd. Safee Sali.
Lions XII pula meraih
kemenangan ketiganya setelah menundukkan PKNS FC 2-1 di stadium Jalan Besar
tetapi masih gagal mengubah kedudukan mereka.
Pasukan tercorot, T-Team pula
memperoleh gol pada minit ke-81 menerusi Muhd. Ramzul Zahini Adenan bagi
mengikat Perak dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin
Shah, Kuala Terengganu.
Tiga minit sebelum itu, Perak
mendahului tuan rumah menerusi sepakan G. Mugenthirran.
SUMBER-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140323/su_04/Selangor-kembali-di-landasan-kemenangan#ixzz2wjpeGc7g
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment