Ad

Monday 24 March 2014

Rekod bersih PDRM hampir tercalar

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my
 
pemain PDRM, Munir Amran (depan) diasak dua pemain pasukan Negeri Sembilan ketika aksi Liga Premier di Stadium Majlis bandaraya di Kelana Jaya semalam.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 2-2 dengan Negeri Sembilan pada aksi Liga Premier di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya semalam.

Jurulatih PDRM, Dollah Salleh mengakui kealpaan barisan pertahanannya pada awal permainan telah mengundang padah apabila membenarkan pasukan lawan meloloskan diri untuk menjaringkan dua gol.

Penyerang import Negeri Sembilan, Jean Emmanuel Effa Owona menggunakan kesempatan itu dengan menanduk masuk gol pertama pasukannya selepas menerima hantaran silang daripada S. Sivanesan seawal minit kedua.

Skuad Sang Saka Biru berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi sepakan penalti Chad Charles Souza selepas Ali Ashfaq dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-46.

Kelekaan barisan pertahanan PDRM sekali lagi mengundang padah apabila giliran Sivanesan meledak gol kedua Negeri Sembilan dengan merembat kencang hantaran lambung Owona pada minit ke-72.

Rafael Souza Silva berjaya menyelamatkan maruah PDRM daripada mengalami kekalahan pertama musim ini dengan jaringan penyamaan lapan minit sebelum tamat perlawanan menerusi satu sepakan percuma menarik.

"Semua serba tidak menjadi hari ini (semalam). Para pemain nampak mengambil mudah perlawanan ini dari awal permainan lagi. Mereka agak leka terutama barisan pertahanan.

"Selepas melakukan kesilapan besar, barulah mereka bangkit semula.

"Saya selalu tekankan kepada para pemain, pasukan lawan tidak akan memberi laluan mudah kepada PDRM dan pastinya mereka akan tampil memberi tentangan sengit.

"Apabila hilang fokus, inilah jadinya. Saya akur dengan keputusan seri ini tetapi saya tidak risau kerana kami tetap akan bangkit pada perlawanan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan semalam.

Sementara itu, jurulatih Negeri Sembilan, V. Sundramoorthy pula mengakui kecewa dengan kegagalan mendapatkan tiga mata penuh selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut sebelum ini iaitu tewas 0-2 kepada Johor Darul Takzim II dan 1-3 kepada Pulau Pinang.

"Ia satu perlawanan sukar dan PDRM jelas sebuah pasukan yang kuat tetapi kami melepaskan dua gol daripada kesilapan sendiri.

"Saya terdesak mendapatkan tiga mata tetapi keputusan seri ini sedikit sebanyak menjadi titik permulaan kami untuk bangkit," katanya.

SUMBER-KOSMO ONLINE 25.3.14

No comments:

Post a Comment