LIKEAND TWEET
Posted By: nazri sham ayob on
10:31 pm
Pesawat MH370 disahkan
terhempas di kawasan selatan Lautan Hindi
KUALA LUMPUR: Pesawat Malaysia
Airlines penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu disahkan berakhir di
kawasan selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia.
Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak mengumumkan berita itu dalam satu sidang khas yang disiarkan
secara langsung dari Pusat Dagangan Dunita Putra (PWTC) malam tadi.
Kata Perdana Menteri, kedudukan
terakhir penerbangan MH370 itu didasarkan kepada maklumat daripada data satelit
yang diberikan oleh syarikat Britain, Inmarsat dan Bahagian Penyiasatan Nahas
Udara United Kingdom (AAIB) yang mengesahkan pesawat Boeing 777-200 itu terbang
ke jalur selatan isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu.
"Ini kawasan yang
terpencil, jauh daripada mana-mana tapak pendaratan yang munasabah.
"Oleh itu, dengan rasa
penuh dukacita dan kesal, saya memaklumkan bahawa, berdasarkan kepada data baru
ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib.
Jelas Najib, satu sidang media
akan diadakan pada Selasa dengan maklumat yang lebih lanjut.
"Pada masa ini, kami ingin
memaklumkan kepada anda perkembangan terbaru ini pada kesempatan yang terdekat.
Kami berkongsi maklumat ini dengan komitmen kepada keterbukaan dan rasa hormat
kepada keluarga, dua prinsip yang menggarisbawahi penyiasatan ini," katanya.
Menurut Najib lagi, Malaysia
Airlines telah memaklumkan perkembangan baru ini kepada ahli keluarga penumpang
dan anak kapal.
"Bagi mereka, beberapa
minggu kebelakangan ini cukup menyedihkan; saya tahu berita tentunya lebih
sedih lagi," katanya.
Najib juga menyeru kepada media
untuk menghormati ruang peribadi ahli keluarga yang terlibat dan memberikan
kepada mereka ruang yang sangat diperlukan pada masa yang sukar ini.
No comments:
Post a Comment