Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Ketika tumpuan
masih terarah sejauh mana perkembangan siasatan insiden terowong, hari ini
akan menjadi hari paling getir buat dua bintang Johor Darul Tazim (JDT), Pablo
Aimar dan Luciano Figueroa yang berdepan tuduhan melemparkan kata-kata berbaur
perkauman kepada pemain import Pahang, Damion Stewart.
Jawatankuasa Tatatertib yang
dipengerusikan oleh Datuk Taufek Abdul Razak ketika dihubungi semalam
memberitahu, kedua-dua pemain dari Argentina itu akan hadir ke Wisma FAM untuk
membela diri setelah mengaku tidak bersalah berhubung insiden yang didakwa
berlaku semasa perlawanan Pahang dan JDT di Stadium Darul Makmur, 7 Februari
lalu.
Jika didapati bersalah, Aimar
yang merupakan bekas pemain antarabangsa Argentina dan Figueroa, bekas pemain
River Plate, boleh digantung perlawanan dan didenda.
"Fokus utama dalam
persidangan Jawatankuasa Tatatertib esok adalah terhadap kes yang melibatkan
dua pemain JDT, Pablo Aimar dan Luciano Figueroa dengan pemain Pahang, Damion
Stewart.
"Mereka berdua mengaku
tidak bersalah dan mahu membela diri atas tuduhan yang dikenakan oleh
Jawatankuasa Tatatertib. Pengadu iaitu Damion serta wakil Persatuan Bolasepak
Negeri Pahang (PBNP) juga akan hadir di Wisma FAM esok (hari ini).
"Kami akan cuba
muktamadkan kes ini esok, ada kemungkinan kami akan bincang hingga petang jika
keadaan memerlukan kerana banyak lagi kes-kes lain yang menunggu (untuk
dibicarakan) selepas ini.
"Namun, semuanya
bergantung kepada kehadiran jurubahasa kepada Aimar dan Figueiroa, kami harap
dia dapat datang esok (hari ini), jika tidak, kita tidak boleh teruskan dan
terpaksa menggantikan kes yang lain," katanya.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140321/su_02/Aimar-Figueroa-dibicara-hari-ini#ixzz2wZSO6yd2
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment