Oleh SAHLIZAH MOHAMED
sahlizah.mohamed@kosmo.com.my
RAJA Dr. Nazrin Shah (empat
dari kanan) bersama pemain Australia yang muncul juara Kejohanan Hoki Piala
Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, Ipoh semalam.
TUAH tidak menyebelahi pasukan
kebangsaan untuk melakar kemenangan ke atas Australia apabila tewas 3-8 di
pentas final Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah,
Ipoh, malam tadi.
Ia sekali gus mengecewakan
harapan kira-kira 15,000 penonton untuk melihat aksi skuad negara membenam
juara sebanyak tujuh kali itu di pentas kejohanan yang sama.
Permulaan rancak oleh skuad
negara masih belum mencukupi apabila Australia merekod gol pertama seawal minit
kelima oleh Chris Ciriello menerusi pukulan sudut penalti.
Percubaan pasukan kebangsaan
untuk mengutip jaringan pertama tidak membuahkan hasil selepas hantaran Muhamad
Ramadan Rosli berjaya disekat pihak lawan.
Australia hanya mengambil masa
seminit sahaja untuk membolosi gawang tuan rumah pada minit ke-11 hasil pukulan
Eddie Ockenden menerusi jaringan padang.
Biarpun ketinggalan 2-0 pada 11
minit pertama perlawanan, pasukan negara terus mempamerkan gaya permainan yang
agresif.
Australia yang terus memberi
tekanan kepada skuad negara berjaya menambah jaringan pada minit ke-17 melalui
pukulan sudut penalti oleh Ciriello.
Skuad bimbingan Muhammad Dharma
Raj Abdullah akhirnya berjaya membolosi gawang Australia pada minit ke-26
menerusi pukulan sudut penalti oleh Muhammad Shahril Saabah.
Ketinggalan 1-3 membangkitkan
semangat pasukan kebangsaan selepas berjaya mengutip gol kedua pada minit ke-40
hasil jaringan padang oleh Muhammad Rashid Baharom.
Anak-anak buah Ric Charlesworth
terus memberikan asakan dengan mengutip dua gol tambahan pada minit ke-42 dan
minit ke-46 hasil pukulan sudut penalti oleh Ciriello dan Nicholas Budgeon.
Ciriello sekali lagi
menghadiahkan gol keenam buat pasukannya pada minit ke-53 hasil pukulan sudut
penalti sebelum kehadiran gol ketujuh oleh Matt Gohdes pada minit ke-65.
Masih belum berputus asa
biarpun ketinggalan lima jaringan, hantaran Fitri Saari pada minit ke-68
melalui jaringan padang memberi sedikit sinar kepada skuad negara untuk
mengejar kedudukan 3-7.
Ternyata skuad negara terpaksa
pasrah apabila gol kelapan Australia oleh Tristan White pada minit ke-68 tidak
berbalas sehingga wisel penamat.
Dalam pada itu, Juara Asia,
Korea Selatan mengalahkan China 3-2 untuk menduduki tempat ketiga manakala
Kanada pula merangkul tempat kelima selepas menewaskan Afrika Selatan 2-0.
SUMBER-KOSMO ONLINE 24.3.14
No comments:
Post a Comment