Najib Tun Razak disambut oleh Benigno S. Aquino III setibanya di Istana Malacanang untuk menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Komprehensif Mengenai Bangsamoro di Manila, Filipina, semalam. - BERNAMA
MANILA 27 Mac - Bangsamoro hari
ini melakar sejarah memeterai perjanjian damai dengan Kerajaan Filipina, sekali
gus menamatkan konflik berdarah hampir 40 tahun di selatan negara ini bagi
membawa sinar harapan kepada Bangsamoro yang majoritinya beragama Islam.
Perjanjian Komprehensif
Mengenai Bangsamoro itu (CAB) itu ditandatangani dengan Barisan Pembebasan
Islam Moro (MILF) dan kerajaan Filipina setelah 17 tahun mengadakan rundingan,
dengan Malaysia bertindak sebagai fasilitator.
Upacara bersejarah itu diadakan
di Istana Malacanang di sini disaksikan oleh Presiden Filipina, Benigno S.
Aquino III; Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak; Penasihat
Presiden mengenai Perdamaian, Teresita Quintos Deles dan Pengerusi MILF, Murad
Ebrahim.
Lebih 1,500 orang hadir
menyaksikan upacara itu termasuk 500 pemimpin, perwakilan dan penyokong MILF,
para diplomat asing dan pemimpin-pemimpin tempatan.
Perjanjian Komprehensif itu
turut mengesahkan persefahaman dan komitmen antara kerajaan Filipina dan MILF,
bukan sahaja untuk menamatkan konflik berdarah di selatan negara ini yang telah
meragut lebih 150,000 nyawa tetapi juga mengiktiraf hak, kedaulatan dan
aspirasi Bangsamoro serta masa depan politik mereka bagi membentuk kerajaan
sendiri yang akan melindungi identiti mereka.
Kedua-dua pihak juga
mengiktiraf tanggungjawab bersama untuk mendokong prinsip-prinsip keadilan.
Dokumen perjanjian itu antara
lain turut menyebut tentang komitmen kedua-dua pihak untuk membantu
mengurangkan ketidakadilan sosial, ekonomi dan politik serta membetulkan semula
ketidakadilan sejarah terhadap Bangsamoro.
Kedua-dua pihak juga bersetuju
untuk menangani masalah pembahagian sama rata kekayaan dan kuasa politik bagi
kepentingan kedua-dua pihak.
Proses rundingan damai itu
telah pun bermula sejak 1997 dan ia kemudian disambung semula pada 2001 dengan
Malaysia bertindak sebagai fasilitator sehingga membawa kepada upacara
menandatangani Rangka Kerja Perjanjian mengenai Bangsamoro pada Oktober 2012.
Dokumen lengkap dan semua
dokumen berkaitan tentang perjanjian itu siap sepenuhnya pada Januari 2014
diikuti dengan menandatangani Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro pada
hari ini di Istana Malacanang.
RUJUKAN
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140328/lu_02/Konflik-40-tahun-berakhir#ixzz2xD3YYy00
© Utusan Melayu (M) Bhd
tahniah....
ReplyDelete