Ad

Saturday 29 March 2014

Rooney lonjak United

 
ROONEY (tengah) menyumbat dua gol untuk membantu United menewaskan Aston Villa 4-1 di Old Trafford malam tadi.

MANCHESTER - Manchester United bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Aston Villa 4-1 pada aksi Liga Perdana England di Old Trafford malam tadi.

Kemenangan itu pasti memberikan kelegaan kepada pengendali skuad The Red Devils, David Moyes yang dikritik hebat sejak akhir-akhir ini.

Moyes yang mengambil alih jawatan bekas pengurus, Alex Ferguson pada akhir musim lalu turut menghadapi tekanan daripada para peminat yang tidak berpuas hati dengan kedudukan United pada aksi liga domestik musim ini.

Pada aksi malam tadi, pemain tengah, Ashley Westwood meletakkan pasukan pelawat di depan seawal minit ke-13 tetapi penyerang sensasi England, Wayne Rooney menyumbat gol penyamaan 1-1 pada minit ke-20.

Rooney meletakkan United di depan selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit-minit terakhir babak pertama hasil kesilapan yang dilakukan Leandro Bacuna.

Bekas pemain Chelsea, Juan Mata meletakkan United di kedudukan selesa apabila meledakkan gol ketiga pada minit ke-57 sebelum Javier Hernandez menambah gol keempat pada masa kecederaan.

Meskipun kemenangan itu tidak mampu mengubah kedudukan United, ia sudah memadai buat anak-anak buah Moyes yang masih memasang impian untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat pasukan teratas musim ini.

Selepas mengharungi 32 perlawanan, skuad United sekadar mengumpul 54 mata untuk menghuni tangga ketujuh liga.

Kejayaan menewaskan Aston Villa turut menghalang United daripada merekodkan tiga kekalahan berturut-turut di Old Trafford selepas tewas 0-3 kepada musuh sejiran, Manchester City dan Liverpool.

RUJUKAN KOSMO ONLINE 30.3.14

No comments:

Post a Comment