Pandelela Rinong (kiri) dan
Leong Mun Yee menunjukkan pingat perak yang mereka menangi menerusi acara 10m
platform di Dubai semalam.
KUALA LUMPUR - Selepas
memulakan kempen Siri Terjun Dunia 2014 dengan memenangi pingat gangsa dalam
acara 10 meter platform seirama wanita di Beijing minggu lalu, gandingan
penerjun handalan negara, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee meneruskan rentak
cemerlang mereka apabila memperbaiki pencapaian dengan memenangi perak pada
sirkit kedua kejohanan di Dubai, semalam.
Pandelela-Mun Yee memberi
cabaran sengit kepada juara Sukan Olimpik London, Chen Ruolin-Liu Huixia dari
China sepanjang lima terjunan di Kompleks Sukan Hamdan, sebelum akur menamatkan
cabaran di tangga kedua.
Kombinasi berpengalaman itu
menamatkan saingan dengan mengumpul 314.64 mata, ditinggalkan oleh pasangan
China yang mengumpul 337.56 mata.
Gandingan Kanada, Meaghan
Benfeito-Roseline Filion memintas pasangan Mexico, Alejandra Orozco-Paola
Espinosa pada terjunan terakhir untuk membawa pulang gangsa menerusi 309.09
mata.
"Catatan kali ini lebih
baik daripada di Beijing, ada peningkatan tujuh mata. Tetapi kalau saya nak
melakukan lebih baik selepas ini, saya perlu memperbaiki kemasukan (ke dalam
air)," katanya menerusi telefon.
Orozco-Espinosa merupakan
pemenang pingat gangsa acara tersebut pada Sukan Olimpik 2012, namun semalam
mereka terpaksa berpuas hati menduduki tangga keempat dengan 305.37 mata.
Selepas tamat dua daripada enam
pusingan Siri Terjun Dunia 2014, Pandelela dan Mun Yee kini berkongsi ranking
kedua keseluruhan bersama Benfeito-Filion dengan mengumpul 45 mata, sembilan
mata di belakang Ruolin-Huixia.
Pandelela yang memenangi pingat
perak dalam acara kegemarannya, 10m platform individu di Beijing, sekali lagi
menjadi sandaran untuk mengulangi pencapaian tersebut esok.
Hari ini cabaran Malaysia akan
diteruskan oleh Ooi Tze Liang dalam acara 3m papan anjal lelaki.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140321/su_01/Pandelela-Mun-Yee-cemerlang-di-Dubai#ixzz2wZPBPVvc
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment