Ad

Saturday, 15 March 2014

Keputusan Malaysia diiktiraf

 
HISHAMMUDDIN Tun Hussein menjawab soalan wartawan dari dalam dan luar negara semasa sidang akhbar berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang masuk hari ketujuh di Hotel Sama-Sama, Sepang, Selangor, semalam. Turut sama Azharuddin Abdul Rahman (kiri) dan Ahmad Jauhari Yahya.
SEPANG 14 Mac - Agensi antarabangsa yang mempunyai kepakaran tinggi dalam industri penerbangan memperakui keputusan Malaysia untuk melakukan usaha mencari dan menyelamat secara serentak di Selat Melaka dan Laut China Selatan sebagai tepat.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perakuan itu dibuat oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) dari Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, usaha mengesan pesawat itu juga akan diperluaskan ke timur Laut China Selatan dan ke arah Lautan Hindi memandangkan operasi carian sebelum ini gagal menunjukkan apa-apa tanda penting.

"Usaha pencarian di sebelah barat dan timur Semenanjung harus dijalankan serentak kerana plot yang dikesan di Selat Melaka oleh radar tentera tidak dapat dipastikan sebagai pesawat MH370 atau sebaliknya.

"Kita tidak boleh menafikan sebarang kemungkinan termasuk pesawat MH370 telah berpatah balik dalam penerbangan ke China, kita juga tidak boleh melepaskan kemungkinan di Laut China Selatan" katanya dalam sidang akhbar di pusat media di Hotel Sama-Sama di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, pihaknya akan menyiasat laporan agensi media antarabangsa bahawa pesawat MH370 telah menghantar isyarat automatik rutin ke satelit selepas kapal terbang itu dilaporkan hilang.

"Kita tidak mempunyai maklumat yang lengkap pada masa ini, kita juga perlu mengenal pasti siapa yang mengeluarkan kenyataan berkenaan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140315/dn_02/Keputusan-Malaysia-diiktiraf#ixzz2w2IRFHon © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment