Ad

Wednesday, 19 March 2014

Ahmad Shakir sedia galas tugas

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mac 2014
Ahmad Shakir sedia galas tugas
Ahmad Shakir sedia galas tugas Ahmad Shakir (kiri) berjabat tangan dengan pemain XM Vissai Ninh Binh, Manh Dung pada sidang media pra perlawanan Piala AFC di Kota Bharu, semalam.

PEMAIN TRW, Ahmad Shakir Md Ali bersedia menggalas tugas selaku penyerang utama apabila berdepan XM Vissai Ninh Binh pada perlawanan terakhir pusingan pertama Kumpulan G, saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Ahmad Shakir berkata, ketiadaan Mohamad Ghaddar dan Ahmad Fakri Saarani umpama rahmat buatnya untuk kembali dipilih dalam kesebelasan utama pasukannya setelah selesai menjalani penggantungan dua perlawanan, baru-baru ini.

“Saya bersedia ambil alih tugas selaku penyerang, biar pun ia dilihat satu tanggungjawab berat bagi diri saya. Apa pun, saya berjanji akan memberikan persembahan terbaik untuk membalas kepercayaan jurulatih.

“Saya akan menggunakan kesempatan ini untuk membuktikan kemampuan sebenar. Saya berharap rakan sepasukan juga dapat menunjukkan prestasi terbaik bagi memastikan momentum kemenangan sebagaimana ketika menewaskan South China diteruskan dalam kempen Piala AFC ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pra perlawanan Piala AFC di Kota Bharu, semalam.

Hadir sama, pengendali Kelantan, Steve Darby dan XM Vissai Ninh Binh, Nguyen Van Sy serta wakil pemain kelab Vietnam itu, Nguyen Manh Dung.

Pemain kelahiran Kedah itu kini menjadi pilihan utama pengendali kelahiran England itu untuk digandingkan bersama penyerang import Liberia, Francis Forkey Doe setelah Mohamad Ghaddar dan Ahmad Fakri diketepikan akibat kecederaan.

Sambil memberitahu mahu menimba seberapa banyak pengalaman beraksi dalam saingan Piala AFC musim ini, Ahmad Shakir jelas bertekad mahu meledakkan gol pada pertemuan menentang XM Vissai Ninh Binh itu.


“Sebagai penyerang semestinya saya mahu menjaringkan gol. Saya harap tuah mengiringi saya malam esok (ini). Saya yakin tiada tekanan bertemu kelab Vietnam ini biar pun mereka mengungguli saingan peringkat kumpulan ketika ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment