Oleh ROSALINDA MD. SAID
utusanterengganu.@utusan.com.my
PETUGAS melakukan kerja-kerja
membuka rumah tradisional Terengganu untuk dipindahkan ke Muzium Warisan
Melayu, Universiti Putra Malaysia.
KUALA TERENGGANU 19 Mac - Seni
bina rumah tradisional merupakan sebahagian daripada gambaran sejarah
perkembangan ketamadunan bangsa yang dikaitkan dengan sifat kreatif dan
inovatif masyarakat Melayu silam.
Melalui reka bentuk dan cara
pembuatannya, warisan itu yang dilanda arus kehidupan moden hampir lenyap
bersama ketinggian ilmu seni pertukangan dengan setiap ciptaan membawa maksud
tersendiri dalam kehidupan selain keindahannya.
Ia disesuaikan pula fungsinya
dengan pegangan agama dan kepercayaan, hubungan kemasyarakatan, cuaca dan
persekitaran yang boleh dilihat mencapai titik kesempurnaan melalui rumah
bujang beselasar (berserambi).
Rumah jenis itu merupakan
antara bentuk terawal dibina dan paling popular dalam sejarah pembuatan rumah
tradisional di negeri ini selain rumah bujang berpeleh, rumah tele dan rumah
limas potong Belanda.
Salah satu warisan terakhir itu
masih boleh dilihat dalam bentuk asalnya merupakan milik Wan Ahmad Hassan Wan
Abdullah, 57, di Kampung Tanjong Pasar dekat di sini, namun dalam keadaan uzur
dan menunggu masa diruntuhkan bagi memberikan laluan kepada projek pembangunan
kawasan itu.
Ia bakal menjadi tidak lebih
sebagai satu longgokan kayu buruk dan terbuang. Namun Muzium Warisan Melayu,
Universiti Putra Malaysia (UPM) melihat itu suatu khazanah yang berharga dan
peluang memilikinya tidak dilepaskan begitu sahaja.
Kewujudan rumah bujang berselasar
di muzium itu yang akan dibangunkan semula dalam bentuk asal bakal melengkapkan
penempatan rumah tradisional yang dikategorikan mengikut tiga zon selain rumah
kutai Perak (zon utara) dan rumah minang (zon selatan).
Rumah berusia hampir 150 tahun
dibina sendiri oleh pemiliknya, Wan Muda Wan Hassan, seorang pembuat perahu
serta barangan tembaga itu memperlihatkan ciri-ciri unik yang tidak terdapat
pada kebanyakan rumah tradisional lain di sekitar Semenanjung.
Wan Ahmad Hassan yang
mewarisinya, menyerahkan secara rasmi kepada pengarah muzium berkenaan, Dr.
Muhammad Pauzi Abd. Latif baru-baru ini sebelum kerja-kerja menanggalkan rumah
itu dilakukan untuk dibawa ke muzium.
Menurut Dr. Muhammad
Pauzi, pihaknya berusaha
mencari rumah sebegitu sejak tahun lalu dan berasa bertuah berpeluang
mendapatkannya, bukan sahaja untuk koleksi pameran dan diabadikan tetapi
sebagai bahan pengajian dan penyelidikan serta pemuliharaan.
"Dalam catatan pengkaji barat
ada menyatakan rumah bujang berselasar berusia hampir 150 tahun dan dengan ciri
papan dinding kembung yang terdapat pada rumah ini secara tidak langsung
membuktikan usianya yang lebih satu abad.
"UPM sangat berminat
dengan rumah yang didirikan oleh Allahyarham Wan Muda Wan Hassan kerana ia
mempunyai ciri yang tidak ada pada kebanyakan rumah Melayu lain di Semenanjung.
"Bagi saya, rumah ini
mempunyai banyak keunikan selain tanpa elemen paku, seperti diperbuat daripada
kayu cengal yang berlantaikan kayu seraya serta bertiang 12 selain lantainya
berpasak dan berselak," katanya.
Rumah bujang berselasar
lazimnya berbumbung panjang dengan papan pemeleh dan beralas atap singgora
memberi tekstur menarik selain identitinya turut terletak pada struktur tiang
dan ruang selasar, rumah ibu dan dapur.
Sesuai dengan namanya bujang,
rumah ini tidak mempunyai bilik sebaliknya hanya mempunyai ruang luas (rumah
ibu) kerana masyarakat Melayu mementingkan perjumpaan atau berkumpul untuk
majlis keramaian dan keagamaan.
Aras paling tinggi adalah rumah
ibu yang boleh dilalui di bawahnya dengan pelbagai aktiviti harian boleh
dijalankan atau untuk teduhan barangan kelengkapan manakala selasar hanya
setinggi paras pinggang orang dewasa.
Selasar berfungsi sebagai ruang
untuk mengajar mengaji, menjahit pukat atau jala dan aktiviti santai yang
banyak melibatkan kaum lelaki.
Bercerita lebih lanjut mengenai
butiran rumah itu, Dr. Muhammad Pauzi berkata, rasional di sebalik lantai
jarang adalah untuk memenuhi keperluan seperti membasuh lantai, memandikan
mayat, menyapu menyapu habuk, selain menyejukkan.
Salur angin yang menghiasi
dinding rumah bagi menggantikan tingkap pula berfungsi untuk memberi
pengudaraan dan pencahayaan yang baik di ruang rumah ibu.
"Elemen tangga juga
penting dalam rumah bujang berselasar dan terdapat sebuah tangga yang
menghubungkan selasar dengan tanah dan selasar dan ruang ibu.
"Binaan bumbung yang
rendah pada pintu sekali gus menuntut posisi menunduk ketika memasuki rumah ibu
sebagai tanda hormat kepada tuan rumah," katanya.
Sementara itu, Wan Ahmad Hassan
berkata, dia terharu dengan inisiatif UPM dan tidak sangka rumah pusaka
berkenaan mempunyai nilai begitu tinggi sehingga dibeli untuk terus dibangunkan
semula.
"Menurut cerita ayah,
selepas datuk meninggal pada 1937, semua anak-anaknya berpindah. Rumah itu
kemudian disewakan sampai kini. Jadi boleh dikatakan kesemua generasi cucu
termasuk saya tidak pernah tinggal di rumah itu.
Wan Ahmad Hassan melahirkan
rasa terharu dan bangga apabila pihak UPM mengambil inisiatif mengambil rumah
berkenaan untuk dijadikan sebagai bahan sejarah.
"Sekiranya mereka tidak
mengambil rumah ini, ia akan dirobohkan begitu sahaja kerana kampung ini akan
dimajukan.
"Dengan terpeliharanya
rumah ini, ia juga mengekalkan sejarah kepada keluarga kami kerana arwah datuk
yang membina rumah ini dan kami adik-beradik akan dapat terus melihat warisan
itu di muzium kelak," katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20140320/wt_01/Keunikan-bujang-berselasar#ixzz2x2x59rvS
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment