Najib Tun Razak melihat buku
'Outreach & Engagement' selepas melancarkannya sempena Perbarisan
Peringatan Hari Polis Ke-207 di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur, semalam.
Turut kelihatan, Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Khalid Abu Bakar (kanan). -
UTUSAN/Abdul Razak Latif.
KUALA LUMPUR 25 Mac - Datuk
Seri Najib Tun Razak berkata, polis akan menjalankan siasatan terperinci bagi
mengenal pasti dengan secepat mungkin punca sebenar tragedi menimpa pesawat
MH370.
Menurut Perdana Menteri,
kejadian berkenaan merupakan satu tragedi yang amat besar dan menyayat hati
rakyat negara ini dan seluruh dunia.
"Malaysia mesti dilihat
dengan komitmen dan tahap profesionalisme dalam semua aspek termasuk siasatan apa
yang sebenarnya telah berlaku.
"Kita tidak mungkin dapat
jawapan yang tuntas melainkan memperoleh kotak hitam tetapi siasatan-siasatan
lain perlu dilakukan kerana keluarga mangsa pesawat mahu kepada jawapan dan
mereka mahu segera," katanya ketika berucap pada majlis Perbarisan
Peringatan Hari Polis Ke-207 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Dalam
Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid
Abu Bakar dan timbalannya, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin.
Menurut Najib, tragedi menimpa
pesawat MH370 merupakan antara cabaran luar dugaan yang perlu didepani pasukan
polis dalam abad ke-21.
Dalam pada itu, beliau menyeru
rakyat supaya memberi sokongan dan memainkan peranan aktif dalam membantu polis
mengurangkan kadar jenayah serta mengekalkan keamanan negara.
Beliau berkata, walaupun soal
kesejahteraan, keselamatan, ketenteraman awam dan keharmonian merupakan bidang
polis, namun semua itu tidak dapat direalisasikan tanpa dokongan serta sokongan
rakyat.
Umpamanya, kata Perdana
Menteri, bagaimana seorang yang bekerja sebagai perancang bandar dan wilayah
boleh mengolah struktur bandar berkenaan agar mempunyai ciri-ciri keselamatan.
Perdana Menteri turut meminta
polis menguruskan persepsi rakyat terhadap jenayah agar seiring dengan trend
penurunan indeks jenayah seperti ditunjukkan tahun lalu yang menurun sebanyak
4.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, selepas majlis
perbarisan berkenaan, Najib melancarkan buku Jangkauan dan Penglibatan
(Outreach & Engagement) yang diterbitkan oleh Jabatan Pencegahan dan
Pembanterasan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM).
RUJUKAN-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140326/dn_03/Polis-siasat-punca-sebenar-tragedi---Najib#ixzz2x1KmqEeA
© Utusan Melayu (M) Bhd
buatlah apa yg patut untuk selesaikan misteri ini.
ReplyDelete