Oleh ROSALINDA MD.SAID
sukan@utusan.com.my
Pemain T-Team, Patrich Steev
Wanggai (kanan) ditenangkan rakan sepasukan apabila berang dengan pengadil
perlawanan, Mohammad Zamzaidi Katimin (kiri) yang didakwa mengeluarkan
kata-kata kesat kepadanya pada perlawanan Liga Super menentang Perak di Stadium
Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin. - AZLAN BAHRUM
KUALA TERENGGANU - Saingan Liga
Super antara pasukan berstatus kelab, T-Team menentang Perak di Stadium Sultan
Ismail Nasiruddin Shah kelmarin mencetus kontroversi berikutan berlaku pertelingkahan
kecil di antara pengadil dan pemain The Titans, Patrich Steve Wanggai pada
minit-minit terakhir sebelum tamat perlawanan.
Wanggai, 25, mendakwa,
pengadil, Mohammad Zamzaidi Katimin telah mencemari imej pertandingan rasmi
bola sepak ekoran sikap tidak profesionalnya memaki serta mengeluarkan
kata-kata kesat ke atas pemain semasa perlawanan berlangsung.
Sebagai pengadil, sepatutnya
dia bersikap neutral pada setiap masa sepanjang perlawanan dan amatlah tidak
wajar bagi pegawai perlawanan sepertinya menjerit dan mengeluarkan kata-kata
kesat kepada saya.
Barangkali dia marah pada saya
atas beberapa sebab tetapi itu bukan alasan yang kukuh untuk dia memaki
saya," kata pemain import dari Indonesia itu.
Dalam saingan kelmarin, dua
pasukan tercorot Liga Super, T-Team dan Perak mencatat keputusan seri 1-1.
Pelawat yang mempamerkan aksi
garang, berpeluang mendahului pada minit ke-78 menerusi rembatan cantik pemain
gantian, G. Mugenthirran dan berselang tiga minit, pemain The Titans, Mohd.
Ramzul Zaihani Adenan berjaya mengikat kedudukan 1-1 selepas menumbangkan
gawang gol Perak.
Wanggai memberitahu, dia masih
boleh menerima jika tindakan tidak bertanggungjawab tersebut dicetuskan pihak
lawan kerana sememangnya mereka mahu menguji dan menggusarkan pasukan yang
ditandingi.
Malangnya, tindakan itu datang
daripada pengadil sendiri dan ini sekali gus memberi gambaran ada sesuatu yang
tidak kena dengan pengadil tersebut," katanya.
Wanggai yang kesal dengan
insiden itu berkata, ini bukan kali pertama kejadian tersebut berlaku ke atas
dirinya. Dia pernah dihambur dengan kata-kata kesat ketika pertama kali beraksi
dalam perlawanan rasmi di negara ini.
Bagaimanapun, dia tidak
menyangka perkara itu berulang lagi.
Penyerang tersebut berkata,
pihak pengurusan telah dimaklumkan dengan insiden itu sekali gus menyerahkan
kepada mereka untuk tindakan selanjutnya dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM).
Setiap pemain berusaha keras
untuk menaikkan prestasi pasukan yang kini menghuni tangga tercorot Liga Super
dan apa yang terjadi ini tidak membantu usaha kami itu
Insiden yang menimpa Evaldo
Rodrigues semasa perlawanan Piala FA di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos,
Johor Bahru baru-baru telah memberi kesan buruk kepada kami dan tidak sangka
kini ia berlaku kepada saya pula," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai
Operasi (COO) T-Team, Syahrizan Ismail berkata, pihaknya telah menerima laporan
berhubung insiden yang menimpa Wanggai dan akan menyiasat perkara tersebut
sebelum dilanjutkan ke pihak atasan.SUMBER-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140324/su_01/Wanggai-kena-maki#ixzz2wrpGU2aD
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment