Ad

Monday 24 March 2014

Kena tunjuk karakter juara

Oleh Haniza Hassan
sukan@utusan.com.my
 
Pemain JDT, Mohd. Amri Yahyah hampir terjatuh selepas diasak oleh pemain ATM, Irwan Fadzly Idrus dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, kelmarin. - UTUSAN/AMIN FARIJHASAN
JOHOR BAHRU - “Jika kita nak menang piala, kita perlu main seperti juara dan kalahkan pasukan juara."

Itu kata-kata semangat yang diucapkan Pengurus pasukan Johor Darul Ta`zim (JDT), Bojan Hodak kepada skuad Harimau Selatan sebagai bekalan untuk berdepan dengan pasukan Kelantan dalam saingan Liga Super esok.

Menurut Hodak, perlawanan dengan Kelantan di Kota Bharu adalah amat getir dalam menentu hala tuju pasukan pada saingan Liga Super.

“Kita lupakan soal perlawanan bertemu dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini. Kita perlu berfikiran positif dan semua pemain perlu fokus untuk mempamerkan aksi terbaik untuk perlawanan nanti.

“Kelantan sudah kalah dengan Selangor 0-1, jadi saya pasti mereka akan cuba untuk beraksi lebih baik dan mencari mata dalam perlawanan akan datang apatah lagi mereka mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Pada perlawanan bertemu ATM di Stadium Tan Sri Hassan Yunos kelmarin, JDT yang beraksi dengan 10 pemain masih mampu mencatat keputusan seri 1-1 dan mengekalkan rekod tanpa kalah mereka di tempat sendiri musim ini.

Tuan rumah yang banyak menguasai perlawanan, gagal memanfaatkan beberapa peluang untuk menghasilkan gol.

Bagaimanapun pelawat yang berjaya menghasilkan gol menerusi rembatan jarak dekat oleh Mohd. Riduwan Maon pada minit ke-39.

JDT semakin terdesak apabila ketua pasukannya, Baihakki Khaizan dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-65.

Namun, ia bagaikan menjadi ‘tonik’ yang memberi semangat kepada pasukan tuan rumah untuk bekerja lebih keras.

Usaha mereka akhirnya berjaya menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-86 menerusi tandukan penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Sali.

Ketika mengulas mengenai perlawanan tersebut, Hodak mengakui bahawa banyak peluang yang gagal dimanfaatkan oleh pemain bagi menyumbang gol untuk pasukan.

“Separuh masa pertama, kita banyak bermain di bahagian pertengahan dan kurang di bahagian penyudahan.

“Walaupun ATM menjaringkan gol dahulu, secara keseluruhan kedua-dua pasukan mempunyai potensi yang sama untuk menang," katanya.
SUMBER-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140324/su_03/Kena-tunjuk-karakter-juara#ixzz2wru3O4rJ © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment