Ad

Saturday, 29 March 2014

Hamilton rampas petak hadapan


 
Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

HAMILTON mengulangi pencapaian di Australia apabila bermula di petak hadapan pada perlumbaan kereta F1 GP Malaysia 2014 di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.

PEMANDU Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton mengulangi pencapaian di Australia apabila bermula di petak hadapan pada perlumbaan kereta Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Malaysia 2014 di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.

Hamilton dari Britain merampas petak hadapan itu selepas mencatat masa terpantas, satu minit 59.431 saat (s) pada aksi kelayakan walaupun terpaksa beraksi dalam keadaan litar lembap semalam.

Juara bertahan, Sebastian Vettel dari Red Bull Racing mula menunjukkan kebangkitan apabila mencatat masa kedua terpantas 1:59.486s.

Seorang lagi pemandu Mercedes, Nico Rosberg turut beraksi dengan baik dan mengulangi pencapaian pada sesi kelayakan di Australia apabila meraih petak ketiga selepas mencatat masa 2:00.050s

Mercedes berada di landasan tepat untuk menampilkan aksi menarik pada perlumbaan sebenar hari ini, namun ia turut bergantung kepada keadaan cuaca.

Aksi kelayakan semalam ditangguh sehingga 50 minit ekoran hujan lebat sehingga permukaan litar lembap dan licin dan menyaksikan beberapa insiden pelanggaran kecil.

Detik cemas bermula apabila pendatang baharu Caterham, Marcus Ericsson melanggar penghadang litar pada sesi latihan satu (Q1) selepas gagal mengawal jenteranya dengan baik.

Kemudian pelanggaran sisi antara pemandu baharu Toro Rosso, Daniil Kyvat dan Fernando Alonso (Ferrari) pada Q2.

Hamilton yang meraih 33 petak hadapan dalam kariernya kini berdiri setanding dengan dua bekas juara dunia, Jim Clark (Britain) dan Alain Prost (Perancis).

Pemandu Britain itu ternyata gembira dengan aksi yang dipamerkan itu untuk menguasai keadaan litar lembap selepas hujan lebat semalam.

“Saya sangat gembira terutamanya dengan apa yang telah dilakukan oleh pasukan minggu ini tetapi hari ini sangat menakjubkan selepas hujan lebat yang menjadikan litar sangat mencabar.

“Pada saat akhir memang sangat sukar bagi saya untuk melihat apa-apa, saya tidak dapat lihat litar dengan jelas tidak tahu di mana selekoh dan waktu yang sesuai untuk menekan brek,” ujar Hamilton.

Ditanya mengenai aksi sebenar hari ini, Hamilton berharap, dia mampu menampilkan aksi terbaik, sekali gus memperbaiki kedudukannya selepas menarik diri pada pusingan kedua di GP Australia setelah enjin jenteranya mengalami masalah teknikal.

“Saya akan buat yang terbaik untuk diri sendiri dan pasukan kerana keutamaan saya untuk meraih mata terbanyak. Saya percaya kami mempunyai peluang yang baik, jentera yang hebat seperti prestasi kami sekarang,” tambah Hamilton.

RUJUKAN KOSMO ONLINE 30.3.14

No comments:

Post a Comment