Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my
SELANGOR tampil dengan rentak
yang lebih sempurna, sekali gus meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan.
Demikian rumusan jurulatih
Selangor, Mehmed Durakovic selepas menyaksikan anak-anak buahnya meraih tiga
mata penuh ke atas skuad gergasi Pantai Timur pada aksi Liga Super di Stadium
Shah Alam malam kelmarin.
Lebih manis, kejayaan itu
dicatatkan di stadium keramat mereka, Stadium Shah Alam selepas terpaksa
mengharungi tiga perlawanan di laman lawan sebelum ini iaitu ketika seri 1-1
dengan Maziya (Piala AFC), seri 1-1 dengan Angkatan Tentera Malaysia (Liga
Super) dan tewas 0-1 kepada Ha Noi T&T (Piala AFC).
Jelas Durakovic, kesungguhan
yang dipamerkan anak-anak buahnya menjadi kunci kejayaan ke atas The Red
Warriors meskipun mengakui para pemainnya dilihat sangat keletihan selepas
mengharungi jadual yang sangat padat sepanjang minggu lalu.
"Semua pemain beraksi
cemerlang termasuk K. Gurusamy dan Veenod Subramaniam yang bijak mengawal
bahagian tengah. Mereka memberikan komitmen 100 peratus pada perlawanan malam
ini (kelmarin).
"Kami kembali beraksi di
(Stadium) Shah Alam dengan keadaan padang yang baik selepas mengharungi tiga
perlawanan di tempat lawan dan ia bukannya suatu perkara mudah buat para pemain
saya.
"Kami telah mendominasi
permainan daripada mula hingga tamat perlawanan.
"Inilah rentak Selangor
yang saya mahukan. Semua pemain tidak kenal erti penat, memberikan prestasi
yang sangat cemerlang dan sepatutunya kami mampu menjaringkan tiga atau empat
gol lagi.
"Biarpun hanya satu gol,
saya tetap gembira dengan tiga mata penuh ini kerana semua pemain bermain
begitu menakjubkan malam ini (kelmarin)," katanya ketika ditemui pemberita
selepas tamat perlawanan tersebut.
Pada aksi tersebut, penyerang
import berbisa Selangor, Paulo Rangel muncul wira skuad bimbingan Durakovic itu
apabila berjaya meledak gol tunggal perlawanan menerusi sepakan penalti pada
minit ke-20.
Durakovic turut menjelaskan
bahawa percaturannya menggilirkan pemain adalah tepat gara-gara terpaksa berhadapan
dengan jadual padat musim ini, Piala AFC dan saingan Liga Malaysia (Liga M).
"Kamu boleh lihat malam
ini (kelmarin), mereka sangat penat selepas 90 minit perlawanan kerana mereka
memberikan segala-galanya tetapi kelebihan kepada kami kerana mempunyai satu
perlawanan dalam tangan.
"Persaingan sangat sengit
sekarang ini dan sesiapa sahaja boleh mengalahkan kamu, jadi kamu perlu
menumpukan sepenuh perhatian dalam 90 minit perlawanan.
"Secara jujur, Selangor
dan Kelantan mempunyai jadual yang sangat padat. Kami tidak mempunyai skuad
yang besar, jadi saya terpaksa membuat penggiliran pemain, ia memerlukan masa
tetapi saya gembira dengan kejayaan ini," jelasnya.
Selepas ini, Selangor dijadualkan
bertemu Sarawak di Stadium Negeri, Kuching malam esok.
SUMBER-KOSMO ONLINE 24.3.14
No comments:
Post a Comment