Salah satu satelit Inmarsat.
KUALA LUMPUR 24 Mac - Syarikat
telekomunikasi satelit Britain, Inmarsat akhirnya membantu merungkai misteri
kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 selama 17 hari, selepas data-data
yang disalurkan oleh satelit itu mengesahkan kapal terbang itu berakhir di
selatan Lautan Hindi.
Data-data yang disalurkan oleh
Inmarsat memberi petunjuk kedudukan terakhir pesawat itu adalah di
tengah-tengah Lautan Hindi di barat Perth.
Dengan menggunakan analisis
yang tidak pernah digunakan sebelum ini dalam mana-mana siasatan melibatkan
kehilangan dan kemalangan pesawat, satelit Inmarsat dan Badan Penyiasatan
Kemalangan Penerbangan (AAIB) United Kingdom mengesahkan pesawat MH370 terbang
sepanjang laluan ke koridor selatan dan mengesahkan kedudukan terakhir pesawat
itu adalah di tengah-tengah Lautan Hindi.
Berdasarkan maklumat data
satelit Inmarsat dan AAIB United Kingdom itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak dengan perasaan penuh sedih dan terharu malam ini mengumumkan di
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini bahawa pesawat MH370 telah berakhir
di selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia.
Satelit Inmarsat telah
memainkan peranan penting bagi membantu mengesan kehilangan pesawat MH370 sejak
berita kehilangan MH370 dilaporkan pada 8 Mac lalu.
Tujuh hari selepas pesawat MAS
itu hilang, satelit Inmarsat dilapor menerima isyarat 'ping' daripada pesawat
MH370 lima jam selepas kapal terbang itu hilang dari radar.
Sebuah satelit Inmarsat turut
mengesan isyarat 'jabat tangan' (handshake) daripada MH370 selama beberapa jam,
sebelum syarikat itu mengeluarkan satu kiraan berdasarkan datanya, menunjukkan
pesawat tersebut kemungkinan terbang menuju koridor utara sehingga ke
Turkmenistan dan koridor selatan menjangkau Lautan Hindi.
Data itu turut mengalih tumpuan
operasi mencari dan menyelamat dari Laut China Selatan ke Lautan Hindi dan
bahagian daratan sehingga ke Turkmenistan dalam satu operasi mencari yang
dilancarkan secara besar-besaran melibatkan 26 buah negara.
Inmarsat ditubuhkan pada 1979
oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) yang juga merupakan sebuah agensi
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada masa ini, Inmarsat
memiliki 10 buah satelit terletak pada ketinggian 35,786 kilometer dari paras
bumi termasuk satelit Inmarsat-5, Alphasat, I-3, I-4 dan Inmarsat-2.
SUMBER-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140325/dn_02/Inmarsat-rungkai-misteri#ixzz2wvRE4I9N
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment