Ad

Thursday, 27 March 2014

Vettel, Franklin Atlet Terbaik Dunia

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 
Sebastian Vettel,Missy Franklin
KUALA LUMPUR - Kejayaan merangkul kejuaraan Formula Satu dunia buat kali keempat berturut-turut tahun lalu membolehkan Sebastian Vettel dinobat sebagai Atlet Lelaki Terbaik pada Anugerah Dunia Sukan Laureus 2013, manakala kemenangan sensasi perenang remaja Amerika Syarikat, Missy Franklin pada Kejohanan Dunia melayakkannya muncul Atlet Wanita Terbaik.

Majlis anugerah berprestij itu yang julung kalinya diadakan di Asia Tenggara, berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur semalam, sambil turut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemandu Jerman yang beraksi buat pasukan Red Bull, Vettel berjaya mengetepikan cabaran nama-nama besar lain, termasuk jaguh pecut Jamaica yang juga pemenang anugerah tiga kali, Usain Bolt dan Pemain Bola Sepak Terbaik Dunia, Cristiano Ronaldo.

Turut berada dalam senarai ak­hir pencalonan adalah bintang tenis Sepanyol, Rafael Nadal, Mo Farah (olahraga) dan LeBron James (bola keranjang).

“Saya telah memberi yang terbaik di atas trek. Berada dalam se­narai akhir pencalonan dalam kalangan atlet terbaik di planet ini adalah satu penghormatan.

“Menerima anugerah ini adalah sangat istimewa. Di sini saya dapat berjabat tangan dengan legenda dan bintang sukan lain.

“Saya sangat menghormati mereka, ini adalah saat istimewa dan saya duduk bersebelahan Tony Hawk, di mana saya membesar melihat serta bermain permainan videonya," kata Vettel.

Sementara itu, kejayaan Franklin, 18, melakar kemenangan sensasi dengan merangkul enam pingat emas pada Kejohanan Renang Dunia di Barcelona, tahun lalu memboleh­kannya mengetepikan atlet senior seperti Serena Williams (tenis), Yelena Isinbayeva (olahraga) dan Shelly-Ann Franser-Pryce. Turut tersenarai ialah Nadine Angerer (bola sepak) dan Tina Maze (ski).

“Bagai mimpi menjadi kenya­taan. Pertama sekali saya ingin mengucapkan takziah di atas tragedi MH370. Saya melihat kembali video kejayaan saya dan tidak mempercayainya, saya juga bertemu ramai legenda sukan di sini. Inilah kali pertama saya datang ke Malaysia, terima kasih semua termasuk ibu bapa saya," kata Franklin yang turut terkenal dengan jolokan Missile Missy.

Kejayaan meraih gelaran treble tahun lalu membolehkan Ba­yern Munich merangkul anugerah Pasukan Terbaik Dunia dengan mengetepikan pasukan ragbi New Zealand (All Blacks), pasukan bola sepak kebangsaan Brazil, pemain tenis beregu Amerika Syarikat, Bob dan Mike Bryan, pasukan bola keran­jang, Miami Heat dan pasukan F1, Red Bull.

Pelumba MotoGP dari Sepanyol, Marc Marquez berjaya me­raih Anugerah Atlet Baharu Paling Menonjol di atas kejayaannya menjadi pelumba termuda memenangi kejuaraan dunia tahun lalu pada usia 20 tahun 266 hari.

Anugerah Kebangkitan Dunia Laureus pula diraih pemain tenis sensasi Sepanyol, Nadal yang bergelut dengan kecederaan sebelum bangkit semula tahun lepas dengan memenangi dua kejuaraan Grand Slam, Terbuka Perancis dan Amerika Syarikat serta lima kejua­raan Master ATP.

Sementara itu Najib mengucapkan tahniah kepada semua pemenang, sambil menegaskan, anugerah ini bukan hanya untuk sukan semata-mata.

“Anugerah ini bukan hanya untuk sukan semata-mata, malah melibatkan pelbagai program termasuk dari segi pendidikan seperti mana yang dilakukan di Brazil," kata Perdana Menteri dalam ucapan pembukaan.

Jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei antara atlet tempatan yang dijemput mengha­diri anugerah berprestij ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140327/su_01/Vettel-Franklin-Atlet-Terbaik-Dunia#ixzz2xD8sf3SJ © Utusan Melayu (M) Bhd

1 comment: