25 Mac 2014
MH370
KUALA LUMPUR - Misteri
kehilangan penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines sejak 16 hari lepas,
terjawab malam tadi menerusi pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak bahawa penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi.
Berdasarkan rumusan itu hanya
kotak hitam pesawat Boeing 777-200ER berkenaan yang dapat menjawab misteri
kehilangannya sejak awal pagi 8 Mac lepas.
Perdana Menteri pada Isnin
malam berkata berdasarkan taklimat Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United
Kingdom (AAIB) dan analisis lanjut data oleh Inmarsat, kesimpulan dibuat bahawa
MH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah
Lautan Hindi, barat Perth.
"Kawasan ini merupakan
lokasi terpencil, jauh dari sebarang tempat pendaratan. Oleh itu dengan
perasaan amat sedih dan terharu saya ingin memaklumkan bahawa menurut data
terkini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib
Pesawat itu yang membawa 227
penumpang dan 12 anak kapal dalam penerbangan ke Beijing apabila dilapor hilang
daripada radar kira-kira 1.30 pagi 8 Mac, setelah berlepas dari Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Sejak hari pertama
kehilangannya, lebih 12 negara membantu Malaysia dalam misi mencari dan
menyelamat pesawat tersebut.
Pada Isnin, pesawat Australia
dan China masing-masing mengesan beberapa objek yang terapung di selatan Lautan
Hindi, namun belum diambil.
Pihak berkuasa Malaysia akan
mengadakan sidang media esok untuk menjelaskan butiran lanjut mengenai
perkembangan terbaharu itu. – Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 25.3.14
No comments:
Post a Comment