WANITA ini menjerit ke arah
jurukamera selepas berita MH370 disahkan terhempas.
BEIJING - Ahli-ahli keluarga
penumpang sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) di China meraung dan
meratap kesedihan selepas dimaklumkan kapal terbang yang hilang sejak 8 Mac
lalu terhempas di Lautan Hindi, lapor Sky News semalam.
Seorang ahli keluarga penumpang
dilihat menangis selepas mengetahui berita itu diumumkan di televisyen dan dia
juga terpaksa dipapah keluar oleh orang ramai.
Seorang lagi waris penumpang
yang sedang menangis terjatuh di eskalator selepas mendengar berita tersebut di
Hotel Lido di sini di mana semua ahli keluarga penumpang berkumpul.
Seorang saksi berkata, dia
melihat beberapa waris penumpang menangis dan ada antara mereka menenangkan
ahli keluarga masing-masing serta ada seorang wanita yang meraung selepas
mendengar berita itu.
REUTERS
SEORANG anggota keluarga
penumpang pesawat MH370 menutup mukanya dengan kedua-dua tangannya.
Pihak MAS menyatakan, ia kini
membuat rumusan tanpa sebarang keraguan munasabah bahawa pesawat MH370 telah
hilang dan tiada mangsa yang terselamat.
Pengumuman itu yang dihantar
kepada anggota keluarga penumpang dan kru MH370 melalui khidmat pesanan ringkas
(SMS) telah dilihat oleh wartawan Perbadanan Penyiaran British (BBC).
Penerbangan MH370 milik MAS
yang membawa 239 orang hilang selepas berlepas dari Kuala Lumpur pada 8 Mac
lalu.
Seorang wanita pengsan dan
melutut sambil menangis dengan berkata: "Anak saya! Anak saya".
Anggota-anggota pasukan
perubatan tiba di hotel tersebut dengan beberapa pengusung.
Seorang lelaki tua turut dibawa
keluar dari bilik persidangan setelah pengumuman menerusi televisyen tersebut
manakala muka lelaki itu ditutup dengan jaket.
Beberapa minit kemudian seorang
wanita pertengahan usia dibawa keluar dengan dengan satu lagi pengusung,
mukanya pucat dan mata wanita itu merenung ke arah lain.
REUTERS
GAMBAR menunjukkan seorang
saudara penumpang MH370 yang tidak bermaya
di atas katil beroda ditolak
seorang anggota perubatan.
Ramai di antara mereka enggan
bercakap dengan wartawan yang berkumpul di hotel berkenaan.
Sebahagian ahli keluarga
memarahi petugas media yang merakam situasi di situ.
Beberapa pengawal keselamatan
menghalang seorang lelaki yang menendang seorang jurukamera televisyen dan
menjerit: "Jangan rakam, aku pukul sampai mati!"
Dalam satu kenyataan yang
dikirim MAS kepada keluarga menyatakan: "Kami terpaksa membuat andaian
pesawat itu telah hilang."
Pihak berkuasa Malaysia sebelum
ini percaya pesawat itu sengaja dilencongkan oleh seseorang yang menaiki kapal
terbang itu.
Bagaimanapun, ketiadaan bukti
kukuh telah mencetuskan banyak spekulasi dan teori konspirasi serta menyebabkan
keluarga mangsa merana.
Beberapa teori utama
termasuklah rampasan, sabotaj oleh juruterbang atau krisis di udara yang
menyebabkan kru penerbangan tidak sedarkan diri dan menyebabkan pesawat itu
terbang menggunakan alat automatik sehingga kehabisan minyak. - Agensi
SUMBER-KOSMO ONLINE 25.3.14
No comments:
Post a Comment