NICOL DAVID
PULAU PINANG - Ratu skuasy
negara, Datuk Nicol David memulakan kempen memburu kejuaraan dunia kali kelapan
dengan mudah mengetepikan pencabar dari England, Emma Beddoes dalam aksi
pembukaan Kejohanan Wanita Dunia CIMB ke-29, semalam.
Dalam perlawanan yang
berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang
Subterranean (SPICE), pemain No. 1 dunia itu hanya memerlukan 35 minit untuk
membenam cabaran Beddoes 11-9, 11-5, 11-8.
Turun sebagai pilihan utama
kejohanan, Nicol bagaimanapun dipaksa bekerja keras pada set pertama selepas
ketinggalan 0-5 sebelum bangkit menyamakan kedudukan dan akhirnya menang tipis
11-9.
Namun, dalam perlawanan set
berikutnya, Nicol memenuhi reputasinya sebagai juara 2012, 2011, 2010, 2009,
2008, 2006 dan 2005 apabila tidak mampu ditandingi Beddose yang tewas mudah
5-11, 8-11.
Kemenangan itu membolehkan
Nicol selangkah lagi untuk mempertahan kejuaraan dunia buat kali keenam
berturut-turut dan yang kelapan keseluruhan.
Dalam pada itu, Nicol berkata,
dia turun dengan berhati-hati semalam memandangkan tidak pernah menentang
Beddoes sebelum ini.
Dia mengakui, berdepan
kesukaran mengikuti rentak perlawanan pantas Beddose pada set pertama sehingga
menyebabkan lawannya itu mendahului dengan jurang mata agak besar.
"Bagaimanapun, saya mula
mendapat rentak pada dua set seterusnya namun ini bukanlah perlawanan yang
mudah bagi saya meskipun menang straight set.
"Saya kini akan menumpukan
kepada perlawanan pusingan kedua nanti dan berharap mendapat sokongan daripada
seluruh rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Menantinya pada pusingan kedua
esok adalah pemain utama Hong Kong yang juga pilihan ke-11, Annie Au. Annie
mara selepas dipaksa berhempas pulas untuk menyingkirkan Mesir yang beraksi dari
pusingan kelayakan, Heba El Torky 13-11, 4-11, 11-7, 11-8.
Dalam pada itu, seorang lagi
wakil negara yang juga pemain No. 6 dunia, Low Wee Wern akan memulakan saingan
hari ini menentang Donna Urquhart dari Australia.
Turut memulakan cabaran hari
ini ialah pemenang dua emas pada temasya Sukan Remaja Asia, Vanessa Raj, yang
menyertai kejohanan ini atas tiket wildcard.
Bagaimanapun, Vanessa berdepan
laluan sukar setelah diundi menentang Laura Massaro dari England yang juga
merupakan pemain No. 2 dunia.
Sumber-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140319/su_02/Nicol-mula-langkah-kanan#ixzz2wZTvyW00
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment