Oleh LUQMAN HAKIM AB RAHIM
luqmanhakim.rahim@kosmo.com.my
PENJAGA gol Perak, Razi Effendi
Suhit (tiga dari kanan) berjaya menyelamatkan bola daripada dirampas pemain
Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur malam tadi.
PAHANG melakar detik manis di
hadapan penyokong-penyokong sendiri selepas menewaskan Perak 2-0 pada aksi Liga
Super di Stadium Darul Makmur malam tadi.
Selepas mengumpul 19 mata
selepas 10 perlawanan, skuad Tok Gajah yang mencatat kemenangan ketiga
berturut-turut berjaya memintas kedudukan Terengganu di persada liga setelah
skuad Penyu sekadar seri 1-1 ketika menentang Kelantan di Kuala Terengganu.
Gol-gol kemenangan Pahang
diperolehi melalui penyerang import, Dickson Nwakaeme dan pemain sayap lincah,
R.Gopinathan.
Sebaik wisel mula ditiup,
Pahang terus mengasak kubu pasukan lawan untuk mencari gol awal melalui gerakan
jentera tengah yang diterajui oleh Mohd. Hafiz Kamal dan Azidan Sarudin.
Pasukan tuan rumah hampir
memecah kebuntuan gol pada minit keempat dan keenam permainan melalui sepakan
percuma Hafiz dan cubaan Nwakaeme namun ketangkasan penjaga gol Perak, Razi
Effendi Suhit berjaya menafikan cubaan kedua-dua pemain tersebut.
Selang tiga minit kemudian,
Nwakaeme berjaya mendapat bola yang ditahan oleh pemain pertahanan Perak
selepas cubaan Azidan dan terus merembat deras melangkaui jangkauan Razi untuk
gol pembukaan dan kelima peribadinya.
Perlawanan menjadi lebih rancak
apabila skud Tok Gajah terus ghairah mencari gol melalui beberapa cubaan
Nwakaeme dan Matias Conti yang memanfaatkan permainan lemah yang ditampilkan
oleh Perak.
Gol kedua Pahang menjelma
menerusi Gopinathan yang berjaya menempatkan diri dalam senarai penjaring gol
liga apabila merembat deras menewaskan Razi pada minit ke-35 selepas penjaga
gol pasukan pelawat itu menepis bola yang disepak oleh Nwakaeme.
Pada aksi separuh masa kedua
perlawanan, Perak cuba bangkit untuk mencari gol penyamaan dengan melakukan
serangan bertubi-tubi menerusi rangkaian pemain import mereka, Eliel Da Cruz
Guardano dan Kyaw Zayar Win namun gagal menewaskan gawang gol pasukan tuan
rumah yang dikawal kemas oleh Mohd. Khairul Azhan Khalid.
Hujan renyai-renyai yang mula
turun pada minit ke-71 mempengaruhi corak permainan kedua-dua pasukan apabila
masing-masing gagal mencari gol kerana bola hanya sekadar berlegar di kawasan
tengah padang tanpa pergerakan yang berbahaya.
Zainal melakukan tiga
pertukaran dengan membawa masuk Mohd. Azamuddin Mohd. Akil, Mohd. Faizol
Hussain dan Zaeshan Rehman namun masih gagal untuk menambah jumlah jaringan.
RUJUKAN KOSMO ONLINE 30.3.14
No comments:
Post a Comment