Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
AHMAD SHABERY (depan) melakukan
gimik Pelancaran Kira Detik 100 Hari Piala Dunia 2014 di Angkasapuri semalam.
BAGI mengelak sejarah “Tajaan
Rakyat Malaysia' 1986 berulang, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi
tampil sebagai penyiar utama percuma bagi menyiarkan siaran secara langsung
pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil pada Jun depan.
Menteri Komunikasi dan
Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ketika kempen Piala Dunia
1986 di Mexico, hak penyiaran siaran langsung ketika itu terlalu mahal dan
tidak mampu ditampung mana-mana stesen televisyen termasuk RTM.
Disebabkan itu, kata beliau,
satu kutipan derma telah dilancarkan warga Malaysia ketika itu bagi menyaksikan
perlawanan menerusi siaran langsung kempen empat tahun sekali tersebut.
"Sekarang kos masih mahal,
cuma kini sudah boleh mendapat sokongan penaja.
"Daripada jumlah lebih 6
juta seisi rumah ketika ini, separuh daripadanya masih belum memiliki siaran
berbayar.
“Jadi, saya berbesar hati
apabila RTM sekali lagi tampil sebagai penyiar utama percuma eksklusif yang
menyiarkan siaran langsung kempen Piala Dunia kali ini,” katanya pada sidang
akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kira Detik 100 Hari Piala Dunia
2014 di Angkasapuri, RTM semalam.
Turut hadir, Ketua Pengarah
Penyiaran RTM, Datuk Norhyati Ismail dan Ketua Pengarah Eksekutif Esprit Media
Sdn.Bhd., Datuk Ahmad Zaharul Annuar selaku pemegang sub-pelesenan hak siaran
langsung berkenaan di Malaysia.
Bagaimanapun, Shabery enggan
mengumumkan jumlah kos bagi hak siaran tersebut yang bakal membuka tirainya
pada 12 Jun sehingga 13 Julai nanti.
Dalam pada itu, Norhyati
berkata, pihaknya berbesar hati dapat meneruskan liputan berkenaan sejak 40
tahun lalu bermula 1974.
Menurut beliau, pada pusingan
akhir Piala Dunia kali ini, RTM bakal menyiarkan 35 perlawanan iaitu 24
perlawanan secara langsung manakala selebihnya tertunda.
Buat julung kalinya juga,
katanya, RTM mendapat tawaran pakej rancangan percuma untuk tontonan penonton
seperti aksi final edisi-edisi terdahulu, klip pendek serta dokumentari
mengenai bintang-bintang bola sepak sejak era 1960-an sehingga sekarang.
“Buat masa ini, kami masih
belum menerima maklumat perlawanan mana yang bakal disiarkan namun kami pasti
ia akan membabitkan aksi pasukan gergasi.”
SUMBER-KOSMO ONLINE 7.3.14
No comments:
Post a Comment