Ad

Friday, 29 May 2015

Buka mata!

Oleh Mohd Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Di sebalik kekalahan tipis 1-2 skuad Pilihan Malaysia kepada kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Tottenham Hotspur, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar melontarkan 1,001 persoalan yang harus dijawab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai faedah dan kelebihan diraih pasukan kebangsaan selepas berakhirnya aksi itu Rabu lalu.
Dilabel sebagai aksi ‘sarkas’, sambutan dingin dan ala kadar daripada peminat jelas memberi isyarat langkah FAM mengatur perlawanan persahabatan itu dengan sanggup mengorbankan kerancakan Liga Malaysia (Liga-M), benar-benar ditolak penyokong tempatan.
“Saya rasa FAM sudah boleh jawab apakah kelebihan yang kita peroleh dengan aksi persahabatan itu? Lagipun aksi itu sudah berlangsung, memang sesuai untuk FAM jawab dari segi pengalaman, pendedahan dan juga kutipan tiket, sama ada perlawanan itu berbaloi.
“Kita boleh andaikan sebelum perlawanan itu ia dapat berikan pendedahan kepada pemain, jadi adakah apa yang dihasratkan itu tercapai,” katanya ketika ditemui pada Kempen Yang Hebat Dahagakan Cabaran 100PLUS bersama legenda bola sepak dunia Pele dan Oscar di Pusat Konvensyen KLCC, di sini, semalam.
Jelasnya, FAM seharusnya lebih peka dan serius dalam mencari aksi persahabatan yang boleh membawa banyak kebaikan kepada skuad negara berbanding hanya menguntungkan sesetengah pihak saja.
“FAM perlu melakukan kerja rumah serta analisis secara menyeluruh sebelum menganjurkannya. Kita tidak mahu perjalanan liga diganggu bagi tujuan aksi seperti itu yang tidak membawa kebaikan langsung. Saya rasa mereka perlu lebih serius di masa depan sebelum anjurkan aksi seumpama itu,” katanya.
Dalam perlawanan yang disaksikan lebih 28,000 penonton itu skuad kendalian Dollah Salleh yang kini sibuk melakukan persiapan bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019, turun menentang Spurs dengan diperkuatkan lima pemain import Paulo Rangel, Guilherme De Paula, Ashfaq Ali, Robert Cornwaithe dan Thiago Junior Aquino.
Namun dua gol penyerang antarabangsa England, Harry Kane sudah cukup memberikan kemenangan buat anak buah Mauricio Pochettino walaupun pasukan tuan rumah membalas menerusi gol pertahanan Perak dari Brazil Junior.
Ketika ditanya mengenai aksi pertama skuad Harimau Muda bertemu Timor Leste dalam saingan Sukan SEA Singapura hari ini, Khairy mahu pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu meraih tiga mata penuh.
“Esok mesti menang. Timor Leste bukan musuh tradisi kita dalam bola sepak. Walaupun saya tidak memandang ringan keupayaan mereka, kita sepatutnya tidak ada masalah dengan perlawanan itu,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:20 AM

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/54432#sthash.je4aEBSo.dpuf

No comments:

Post a Comment