Ad

Thursday 14 May 2015

Lima Pemain Import Perkuat Pilihan Malaysia Hadapi Tottenham Hotspur


KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Pemenang kasut emas (penjaring terbanyak) Liga Malaysia (Liga-M) 2014, Paulo Rangel dari Brazil merupakan antara lima pemain asing yang dipilih untuk memperkuat Pilihan Malaysia menentang Tottenham Hotspur pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, 27 Mei ini.

Selain Rangel yang beraksi dengan Terengganu, pengendali skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh turut menyenaraikan empat pemain asing lain yang beraksi dengan pasukan Liga-M pada aksi menentang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Mereka ialah Ashfaq Ali (PDRM), Robert Cornthwaite dan Guilherme De Paula (kedua-duanya mewakili Selangor) selain Woong Namkung yang mewakili Perak, demikian menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan Selasa.

Badan induk itu memaklumkan lima pemain asing berkenaan bersama 19 pemain tempatan lain perlu melaporkan diri kepada Dollah di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Jumaat ini.

Sesi latihan fasa pertama bagi aksi menentang kelab EPL itu akan berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya dari 17-27 Mei ini.

Tiga pemain iaitu Muhammad Zamir Selamat (Perak), Abdul Manaf Mamat (Terengganu) dan Wan Zack Haikal Wan Nor dari Kelantan pula berada dalam senarai menunggu dan perlu bersedia dipanggil menjalani sesi latihan sekiranya mana-mana pemain disahkan mengalami kecederaan oleh doktor pasukan.

Dalam kenyataan sama, FAM turut memaklumkan 19 pemain tempatan dipilih untuk menjalani sesi latihan fasa kedua dari 28 Mei-17 Jun ini bagi menghadapi aksi persahabatan dan dua perlawanan kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Kelayakan Piala Asia 2019.

Malaysia bakal diuji Hong Kong pada aksi persahabatan pada 6 Jun ini sebelum menghadapi dua perlawanan Pusingan Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Timor Leste pada 11 Jun dan Palestin (16 Jun) dan ketiga-tiga perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kenyataan itu turut menyebut, tujuh pemain yang mempamerkan aksi cemerlang pada sesi latihan fasa pertama akan dipanggil untuk meneruskan latihan fasa kedua bersama 19 pemain berkenaan.

"Selepas perlawanan menentang Hong Kong, seramai tiga pemain akan digugurkan dan senarai 23 pemain akan memasuki fasa terakhir skuad kebangsaan bagi menghadapi Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Kelayakan Piala Asia 2019.

"Pemain yang terlibat dengan Sukan SEA di Singapura (pada Jun) dikehendaki melaporkan diri bersama pasukan kebangsaan sebaik sahaja tamat perlawanan terakhir dengan pasukan Bawah 23 kebangsaan," tambah kenyataan itu.

Senarai Pelatih Fasa Pertama:

Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohamad Shahrul Azim Ab Halim, Mohd Norfarhan Muhammad (Kelantan); Mohd Ramadhan Abdul Hamid (Harimau Muda B); Mohd Muslim Ahmad, Mohd Afif Amiruddin (PDRM); Ronnie Harun, Joseph Kalang Tie (Sarawak); Yong Kuong Yong (Pulau Pinang); Muhammad Zubir Mohd Azmi, Norshahrul Idlan Talaha (Terengganu);

Mohd Azmi Muslim, Ahmad Hazwan Bakri, Mohd Afiq Azmi (Selangor); Baddrol Bakhtiar (Kedah); Mohd Nasir Basharudin (Perak); Ahmad Syamim Yahya, Indra Putra Mahayuddin, D. Christie Jayaseelan (Felda United FC).

Pemain Asing: Paulo Rangel (Terengganu); Ashfaq Ali (PDRM); Robert Cornthwaite, Guilherme De Paula (Selangor); Woong Namkung (Perak).

Senarai Pelatih Fasa Kedua:

Mohd Farizal Marlias, Mohd Izham Tarmizi Roslan, Mohammad Fadhli Mohd Shas; S. Kunalan; Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mahalli Jasuli, Junior Eldstal, Safiq Rahim, Gary Steven Robbat, Mohd Nazrin Mohd Nawi, S. Chanthuru, Mohd Amri Yahyah, Mohd Safee Mohd Sali (kesemuanya pemain Johor Darul Ta'zim);

Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid, Mohd Razman Roslan, Matthew Davies, Mohd Hafiz Kamal, Azamuddin Mohd Akil, R. Gopinathan (kesemuanya pemain Pahang).


sumber-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment