Ad

Friday, 15 May 2015

Piala FA: Kelantan pertaruh pemain tempatan temu Pahang


JUMAAT, 15 MEI 2015 @ 7:31 PM

KOTA BHARU: Kelantan akan mempertaruhkan barisan pemain tempatan di bahagian serangan pada aksi separuh akhir kedua, Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam esok. Jurulatihnya, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata ketiadaan pemain import dari Nigeria, Austin Amutu yang masih dibelenggu kecederaan membuka peluang kepada pemain tempatan untuk membuktikan sesuatu pada perlawanan tersebut.

"Kita tidak harapkan seorang pemain sahaja, kalau Amutu tidak ada, kita masih ada Nor Farhan Muhammad, Mohd Khairul Izuan Rosli dan Wan Zack Haikal Wan Noor, jadi ia tidak menjadi masalah. "Kalau lihat perlawanan di Kuantan baru-baru ini, kemasukan pemain simpanan dapat mengimbangi perlawanan dan kita lihat ada kekuatan, saya yakin pemain tempatan dapat memikul tanggungjawab," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini. Beliau berkata anak buahnya perlu berhati-hati dengan setiap pergerakan yang direncanakan oleh pasukan lawan serta mengelak pintu gol daripada dibolosi pada awal perlawanan.

 "Kita tidak boleh hanya tumpu kepada Dickson Nwakaeme dan Matias Conti. "Pasukan ini (Pahang) sudah lama bersama dan mantap di semua posisi, jadi semua pemain perlu diawasi, kita jangan leka dan jangan buat sebarang kesilapan mudah," katanya. Mohd Azraai berkata pasukannya membuat persiapan rapi sekiranya perlawanan itu berlanjutan ke masa tambahan ataupun menerusi penentuan sepakan penalti. "Kita sudah bersedia dari segi tahap kecergasan dan kita juga bersedia untuk sepakan penalti, ini peluang terbaik kita untuk layak ke final," katanya. Pada aksi separuh akhir pertama, Kelantan tumpas 0-1 kepada Pahang. - BERNAMA

Sumber: http://www.bharian.com.my/node/55027

No comments:

Post a Comment