Ad

Monday 25 May 2015

Keputusan paling sukar 
pernah saya buat – Kim Swee

SUFIAN HADI SOJAK  |  26 Mei 2015 1:23 AM
SKUAD Bawah 23 negara melaungkan kata-kata semangat selepas sidang
SKUAD Bawah 23 negara melaungkan kata-kata semangat selepas sidang akhbar mengumumkan nama 20 pemain yang tersenarai ke dalam skuad ke Sukan SEA di Subang, Selangor semalam. UTUSAN/FAUZI BAHARUDINGambar FAUZI BAHARUDIN Pemberita Sufian (Meja Sukan) Fazli (Sukan Kosmo!)

SUBANG – Ketua jurulatih skuad bola sepak bawah 23 negara Datuk Ong Kim Swee mengharungi detik sukar apabila terpaksa melupakan tujuh pemain penting, termasuk penyerang Sabah, Md. Rozaimi Abd. Rahman dan penyerang Felda United, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir daripada menggalas cabaran ke Sukan SEA 2015 di Singapura.
Kim Swee, 44, berkata, keputusannya tidak menyenaraikan dua pemain berkenaan dalam skuad 20 pemain ke temasya dwitahunan itu dibuat berdasarkan prestasi semasa mereka.
“Setelah mengambil kira banyak aspek, bukan sahaja kepada Md. Rozaimi dan Muhammad Ferris Danial, tetapi juga untuk beberapa pemain lain. Seperti yang saya katakan, prestasi semasa memainkan peranan penting selain kekangan masa menyebabkan saya terpaksa mengetepikan kedua-dua pemain ini.
“Bukan kerana kedua-dua pemain ini tidak boleh beraksi, tetapi kita kesuntukan masa, terutamanya dalam mengejar kecergasan dan juga prestasi semasa mereka dan itu menjadi salah satu aspek kenapa mereka diketepikan.
“Sudah tentu saya tidak boleh pilih kesemua pemain dan mereka perlu faham. Sejak hari pertama sebelum kami memulakan latihan, prestasi semasa sangat penting untuk saya membuat keputusan menggugurkan dua pemain berkenaan tahun ini.
“Ini merupakan keputusan paling sukar yang pernah saya lakukan sepanjang karier saya buat masa ini, namun saya perlu melihat kualiti sebaik mungkin,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengumumkan senarai akhir 20 pemain skuad yang akan ke Singapura semalam.
Skuad negara, yang akan ke Singapura hari ini, berdepan laluan sukar dalam acara bola sepak selepas diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Thailand selain Vietnam, Laos, Brunei dan Timor Leste.
Skuad muda negara akan membuka kempen menentang Timor Leste pada 30 Mei, diikuti pertemuan dengan Vietnam (2 Jun), Thailand (4 Jun), Brunei (8 Jun) sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan berdepan Laos pada 11 Jun.
Kesemua perlawanan Kumpulan B akan berlangsung di Stadium Bishan manakala aksi Kumpulan A yang melibatkan Singapura, Indonesia, Myanmar, Filipina dan Kemboja akan berlangsung di Stadium Jalan Besar.
Beliau turut mengumumkan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Mohamad Fandi Othman selaku kapten pasukan kebangsaan dan akan dibantu oleh Gary Steven Robbat dan Mohamad Amer Saidin sebagai penolong.
“Mohamad Fandi sebelum ini bersama Harimau Muda dan bermain dalam Liga Malaysia dan telah bersama pasukan agak lama, begitu juga Gary dan Mohamad Amer. Mereka mempunyai pengalamn luas bukan sahaja dalam Sukan SEA, malah Sukan Asia juga.
“Saya boleh katakan pasukan kita amat seimbang. Saya tak meletakkan (pasukan) kita sebagai pilihan kali ini walaupun kita sebagai juara bertahan. Peluang kita sama rata dengan pasukan-pasukan gergasi Asia Tenggara yang lain,” katanya.
Ketika ditanya adakah dua penyerang tulen Muhammad Syafiq Ahmad dan S. Kumaahran yang berada dalam senarai sudah memadai untuk menggalas cabaran, Kim Swee berkata, perkara tersebut bukan masalah kerana beliau mementingkan pemain yang boleh beraksi di beberapa posisi.
“Saya mempunyai Syahrul Azwari Ibrahim, D. Saarvindran, Muhamad Faizat Mohamad Ghazli yang boleh bermain di bahagian serangan. Jadi saya tiada masalah...dan mereka yang pernah beraksi dalam beberapa posisi akan menjadi keutamaan saya.
“Pengalaman saya dalam dua Sukan SEA lepas, kita mengalami banyak kecederaan dan pemain yang boleh beraksi dalam dua posisi amat penting jika kita melangkah ke peringkat seterusnya,” katanya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/keputusan-paling-sukar-8232-pernah-saya-buat-8211-kim-swee-1.95876#sthash.l8IrDf4G.dpuf

No comments:

Post a Comment