SKUAD muda negara perlu
meningkatkan lagi mutu permainan untuk melepasi cabaran Kumpulan B setelah
sekadar menang 1-0 ke atas Timor Leste malam tadi.
SINGAPURA – Skuad bola sepak
Sukan SEA negara menewaskan Timor Leste 1-0 pada perlawanan pertama temasya
tersebut yang berlangsung di Stadium Bishan malam tadi.
Pasukan bimbingan Datuk Ong Kim
Swee berjaya mempamerkan penguasaan seawal permainan dimulakan dengan beberapa
gerakan dan percubaan berbahaya.
Muhammad Nurizwan Abu Hassan
seharusnya meletakkan Malaysia di depan seawal minit ketiga, namun rembatan
kencangnya terkena pertahanan sebelum terkeluar.
Bagaimanapun, pemain sayap D.
Saarvindran berjaya menebus kekecewaan tersebut pada minit ke-11 apabila
rembatan kaki kirinya selepas menerima umpanan Muhammad Syafiq Ahmad berjaya
menggegarkan jaring lawan untuk Malaysia mendahului dengan satu gol.
Ketika skuad negara ghairah
untuk menambah jaringan, mereka dikejutkan dengan insiden layangan kad merah
kepada pemain tengah, Muhammad Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-31.
Pengadil dari Singapura, Foo
Chuan Hui mengarahkan pemain tersebut keluar padang selepas didakwa meludah
pemain Timor Leste, Filipe Oliveira sebelum itu.
Syafiq (tengah) cuba melepasi
pemain Timor Leste, Sabas Victor Jorge (kiri) pada saingan Kumpulan B bola
sepak Sukan SEA 2015 di Singapura malam tadi.
Babak kedua permainan
menyaksikan corak hambar dipamerkan kedua-dua pasukan dan skuad negara nyata
terkesan dengan kehilangan seorang pemain apabila terpaksa memilih untuk
bermain secara bertahan.
Bagaimanapun, beberapa serangan
balas pantas pemain negara kerap mencemaskan kubu Timor Leste termasuk tandukan
Mohammed Amer Saidin pada minit ke-73 selepas menerima bola hasil sepakan
penjuru, namun hanya singgah di palang gol.
Timor Leste mendapat peluang
terbaik melalui sepakan percuma dari jarak 25 meter tetapi sepakan ketua
pasukan, Anggisu Barbosa berjaya ditepis penjaga gol, Mohd. Farhan Abu Bakar.
"Kami bermain baik tetapi
susah untuk mendapatkan gol apabila bermain 10 orang. Saya tidak boleh menerima
tindakan Nazmi yang secara jelas mengubah rentak pasukan.
"Saya kecewa dan tidak
akan bertolak ansur mengenai perkara ini (kad merah Nazmi) tetapi saya gembira
kami meraih tiga mata, keputusan perlawanan tidak penting.
"Seramai 10 pemain di atas
padang menjalankan tugas dengan baik. Mereka benar-benar mahukan tiga mata ini
biarpun terpaksa menampung kekurangan seorang pemain," ujar Kim Swee.
Jurulatih Timor Leste, Fabio
Joachim Da Silva pula berkata; "Walaupun kalah tetapi saya gembira dengan
persembahan para pemain kerana mereka melakukan setiap perancangan kami.
"Kami melepaskan gol mudah
tetapi susah untuk menembusi benteng pertahanan yang dibarisi empat atau lima
pemain Malaysia."
Selepas ini Malaysia akan
menentang Vietnam di venue sama Selasa ini diikuti Thailand (4 Jun), Brunei (8
Jun) dan Laos (11 Jun).
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0531&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz3bgLk3Ra5
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment