Ad

Wednesday, 20 May 2015

Dilema Terengganu

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.ashraf@kosmo.com.my
AKSI separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dengan Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Sabtu lalu berakhir dengan rusuhan penonton yang tidak berpuas hati terhadap keputusan pengadil membatalkan jaringan keempat skuad Penyu.


‘HENDAK seribu daya, tak nak seribu dalih’. Mungkin itu dilema yang dialami Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) terhadap ancaman menarik diri daripada menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M).

Ancaman tersebut dibuat selepas skuad Terengganu gagal melangkah ke final Piala FA 2015 apabila tewas kepada Lions XII pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

PBSNT mendakwa kekalahan mereka berpunca daripada kesilapan pengadil yang membatalkan jaringan keempat Terengganu, sekali gus mencetus rusuhan penonton.

Semalam, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman seolah-olah berubah fikiran dan menjelaskan ancaman untuk menarik diri masih belum dimuktamadkan.

Penentu terhadap hasrat itu bergantung sepenuhnya pada laporan lengkap daripada PBSNT.

“Kerajaan negeri akan memberi jawapan setelah menerima laporan lengkap daripada PBSNT,” jelas Ahmad Razif pada sidang akhbar selepas majlis sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu di Gong Badak semalam.

Ahmad Razif turut mempersoalkan kewajaran menggunakan khidmat penjaga garisan, Azman Ismail pada perlawanan tersebut yang beliau sifatkan sebagai individu yang pernah membuat keputusan kontroversi sewaktu perlawanan antara Terengganu dengan Kelantan pada aksi separuh akhir Piala FA 2013 lalu.

Katanya, jaringan gol dua tahun lalu turut dibatalkan kerana ofsaid dan situasi tersebut hampir sama dengan apa yang berlaku Sabtu lalu, sekali gus membenam peluang skuad Penyu untuk mara ke final.

“Jadi, saya harap FAM mesti ada satu rekod atau perlu membuat semakan sebelum memutuskan siapa yang akan mengadili satu-satu perlawanan. Kita cuma sentuh apa yang berlaku pada malam itu sahaja dan bukannya keseluruhan perlawanan (Liga M),” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Goh Ah Chai menyatakan, keputusan pengadil perlawanan tersebut, Mohd. Amirul Izwan Yaacob membatalkan gol keempat Terengganu pada minit ke-89 adalah tepat dan mengikuti Undang-Undang 11 Peraturan ofsaid Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0520&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3agvOxSAr Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment